Selasa, 5 Mac 2013

Masjid Baru Taman Peruda Siap Sepenuhnya.

Dato' Hj. Tajul Urus menyaksikan upacara penyerahan masjid Taman Peruda kepada  wakil Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) sebelum diserahkan secara rasmi kepada imam Khariah masjid Taman Peruda.

Semalam telah diadakan majlis penyerahan Masjid Taman Peruda yang proses pembinaannya telah pun siap sepenuhnya.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Hj. Mat Zain.

Ruang solat utama masjid bernilai 3.2 Juta ini mampu memuatkan sehingga 1500 jemaah dalam satu masa. Memiliki kemudahan yang lengkap seperti masjid-masjid lain, ia turut dilengkapi lapan buah alat penghawa dingin serta mempunyai kemudahan dewan pelbagai guna yang luas ditingkat bawah selain kemudahan tandas untuk golongan kurang upaya.

Terletak di atas bukit, lokasi strategik masjid ini mampu menampilkan pemandangan menarik yang bakal menjadi mercu tanda baru di bandar Sungai Petani.

Dato' Hj. Tajul Urus yang bercakap kepada pemberita selepas itu berharap, masjid ini tidak disalahguna selain tujuan ibadat serta perkara berkaitan.

Menurutnya ahli khariah masjid ini terdiri dari kenalan yang rapat walaupun masing-masing berbeza pandangan politik dan sebagainya tetapi beliau mengingatkan supaya mereka menjadikan masjid ini sebagai tempat perpaduan dan tidak mencampurkan hal-hal politik didalam masjid.

"Jika boleh jadikanlah masjid ini dimana ahli jemaahnya datang untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T,

Jangan diganggu oleh hal-hal yang boleh menyentuh perasaan terutama politik," katanya.

Beliau turut menggesa supaya ahli Khariah mempunyai sifat menghormati pemimpin samada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Projek pembinaan Masjid Taman Peruda bermula pada September 2011 dan siap pada 16 Januari 2013 dengan peruntukan dari kerajaan pusat sebanyak RM2.5 juta manakala baki RM700 ribu lagi adalah hasil sumbangan orang ramai.





Tiada ulasan: