Selasa, 25 Oktober 2011

Bekalan Lembu Ibadat Korban Cukup.

NOH Omar diberi penerangan mengenai produk berasaskan coklat ketika melawat gerai pameran pada Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Siswazah Tani UiTM Merbok, Sungai Petani, semalam.


Bekalan lembu untuk menampung keperluan umat Islam di negara ini melakukan ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha bulan depan adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.



Menurut beliau, banjir buruk yang melanda Thailand sejak beberapa minggu lalu tidak menjejaskan bekalan kerana haiwan tersebut telah dibawa masuk secara berperingkat sejak sebulan lepas.
Katanya, sehingga semalam kira-kira 15,000 lembu telah diimport dari negara jiran itu dan jumlah import yang diteruskan dari semasa ke semasa diyakini dapat menampung keperluan pada musim perayaan berkenaan.
"Kebanyakan lembu untuk korban ini diimport dari Thailand walaupun banjir buruk melanda negara itu tetapi kita sudah sediakan perancangan dari awal untuk membawa masuk bekalan ini secara berperingkat sejak sebulan lalu.
"Orang ramai tidak perlu risau (kerana) bekalan tersebut dijamin mencukupi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Siswazah Tani Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah di Merbok dekat sini hari ini.
Menurut Noh, pihaknya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut mengetatkan syarat mengimport bekalan tersebut pada tahun ini bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit.
"Syarat utama lembu mesti dikuarantin di negara asal selama 21 hari dan apabila bebas daripada sebarang penyakit sepanjang pemeriksaan dijalankan barulah ia dibenarkan masuk.
"Selepas itu haiwan tersebut juga akan dikuarantin selama 10 hari di pusat pemeliharaan di sini sebelum dibenarkan diagih kepada orang ramai. Saya berharap orang ramai tidak bimbang kerana pemeriksaan rapi sudah dilakukan," katanya lagi.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan lembu korban agar mendapatkannya daripada saluran yang betul bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti haiwan tersebut dijangkiti penyakit.
"Permit untuk membawa masuk haiwan ini oleh JPV telah berakhir pada 23 Oktober lalu selepas ini tidak ada lagi lembu yang akan dibawa masuk bagi menjamin kesihatannya," kata beliau.-Utusan.

Tiada ulasan: