Ahad, 30 Oktober 2011

Majlis Penutup Karnival Usahawan Desa 2011.



Setelah berlangsung selama 4 hari dari 27 hingga 30 oktober, Karnival Usahawan Desa(KUD)2011 Zon Utara kini sampai ke penghujung. Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain hari ini hadir bagi mengiringi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah(KKLW) Dato' Hasan Malek untuk menyempurnakan majlis penutupan secara rasmi program itu.
Sepanjang karnival itu pelbagai program telah diadakan untuk menarik pengunjung bagi memperkenalkan mereka kepada produk-produk usahawan desa yang mengambil bahagian.Pelbagai produk usahawan desa seperti makanan,kraftangan dan pelbagai produk lain telah dipamerkan di karnival itu.

Pada majlis itu juga Dato' Hasan Malek turut menyampaikan anugerah kepada 5 usahawan cemerlang dari Negeri Kedah.Mereka adalah sebahagian usahawan yang memulakan perniagaan dengan bantuan pelbagai agensi dibawah KKLW iaitu KEDA,KEMAS,RISDA,FELCRA dan juga MARA yang memperlihatkan pencapaian cemerlang dengan pendapatan dari RM78,000 sehingga RM1,440,000.00.

Sementara itu Bernama melaporkan,Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) berjaya melahirkan kira-kira 20,000 usahawan desa di seluruh negara menerusi Karnival Usahawan Desa sejak 2006.

Datuk Hasan Malek berkata, semua usahawan desa terbabit berada dalam senarai bimbingan KKLBW, yang memerlukan modal berbayar kurang daripada RM500,000 termasuk peralatan teknologi.

"Dan daripada jumlah itu seramai sembilan usahawan desa berjaya memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa seperti di Dubai, Arab Saudi, dan Hong Kong.

"Antara produk yang dapat tembusi pasaran luar negara ini kebanyakan makanan seperti roti dan produk berasaskan kayu iaitu kraf tangan,” katanya.


Selain itu katanya, kementerian tersebut juga memadankan usahawan terbabit dengan pasar raya seperti Giant dan Tesco bagi memasarkan produk mereka.

"Semua ini (pasaraya) antarabangsa...kita cuba letakkan produk usahawan kita di syarikat besar untuk dipasarkan,"katanya.


Tiada ulasan: