KUBANG PASU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika masalah cantas mencantas tidak lagi berlaku di kalangan pemimpin dan ahli parti itu.
Beliau berkata, ketua-ketua UMNO bahagian juga telah membuat
ikrar di hadapannya untuk memastikan perbuatan itu yang terjadi pada Pilihan
Raya Umum 2008 tidak berulang di bahagian masing - masing.
"Saya tekankan tentang perkara ini dan saya dapati
masing-masing faham, saya rasa mungkin di Kedah semakin berkurangan masalah
ini.
"Ketua-ketua UMNO bahagian juga buat pengakuan ikrar,
kita pegang kepada ikrar, sekarang semua tahu bukan ketua UMNO sahaja, tetapi
yang lain pun sedar sebab kalau dia cantas lalu dia naik maka orang lain akan
cantas dia juga," katanya.
Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas
menyampaikan ucaptama Majlis Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin UMNO Kedah di Dewan
Wawasan Jitra.Beliau berkata, perbuatan cantas mencantas pada Pilihan Raya Umum 2008 antara faktor menyebabkan kebanyakan calon UMNO kalah walaupun ramai rakyat masih mahu BN mentadbir kerajaan negeri.
Menurutnya, masalah itu berpunca daripada perbuatan pemimpin
tertentu yang mahu menjadi calon tetapi tidak dipilih sebagai calon pilihan
raya.
Bagaimanapun, tambah beliau, UMNO Kedah sudah berusaha
mengurangkan masalah itu dan ketika ini ketua-ketua UMNO bahagian juga sudah
berjanji untuk menyokong siapapun yang akan dipilih menjadi calon BN walaupun
calon 'payung terjun'.
"Saya tekankan yang penting bukan siapa jadi calon
tetapi yang penting parti menang, kalau calon bukan orang UMNO pun kita sokong,
sebab kita nak BN menang.
"Bagi saya, saya tak kira sama ada calon itu winnable
atau tidak tetapi asalkan dia calon BN kita bagi dia menang," jelasnya.
Dr. Mahathir berkata, peluang BN untuk menawan semula Kedah
pada PRU13 juga amat cerah kerana situasi kini berbeza dengan 2008 yang
menyaksikan pengundi tidak mengundi BN disebabkan kecewa dengan kepimpinan
Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya jumpa orang seperti ini yang sakit hati kerana
terpaksa undi parti lain sebab dia marah, tetapi sekarang zaman Datuk Seri
Najib Tun Razak," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, parti-parti komponen BN
didapati agak lemah dan mereka perlu dipulihkan serta dibantu oleh UMNO di
peringkat bahagian.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir mengulangi
nasihatnya agar pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya tidak terlibat dengan perbuatan
cantas mencantas dan berpecah belah bagi memastikan BN memenangi PRU13 di Kedah.
Menurutnya, ahli-ahli UMNO mesti bersatu kerana perjuangan
UMNO ialah untuk memenangkan parti bagi membentuk kerajaan dan bukannya untuk
kepentingan pemimpin tertentu.
"Kekalahan UMNO ibarat Melayu menjadi bangsa yang
hilang kuasa di negara sendiri... kita tak boleh menjadi bangsa yang berpecah
belah," jelasnya.