Ahad, 6 Mei 2012

BN Beri Khidmat Kelas Pertama Di Merbok.

"Bagi saya tiada jalan mudah menawan semula Kedah dan Parlimen Merbok, kecuali jika semua ahli UMNO dan BN bersatu dan rela berjuang dengan misi sama"
                                                                       Tajul Urus Mat Zain
                                                                                        Penyelaras Parlimen Merbok


Masa berlalu begitu pantas dan tanpa disedari sejak Mac 2008 sudah hampir empat tahun jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Merbok memberi khidmat berterusan dalam usaha memastikan ia terus relevan sebagai sebuah parti yang utuh memperjuangkan nasib rakyat, terutama dikawasan yang dikuasi pembangkang.
Walaupun terpaksa menahan keperitan kalah di kerusi Parlimen, termasuk kecundang di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Selambau dan Tanjung Dawai pada pilihanraya umum (PRU) 2008, ia bukan alasan kepada BN berpaling tadah atau mengambil sikap lepas tangan dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada masyarakat di Merbok.

Penyelaras Parlimen Merbok,  Dato’  Tajul Urus Mat Zain, berkata walaupun mengakui pahit menelan kekalahan pada 2008, BN tidak mahu terus meratapi episod sedih itu.

Sebaliknya, kata beliau, kekecewaan itu merapatkan lagi ikatan perpaduan antara Parti komponen termasuk UMNO, MCA dan MIC di kawasan itu untuk memastikan kepentingan rakyat diutamakan.
Katanya, penerimaan penduduk di parlimen Merbok terhadap BN semakin baik, terutamanya masyarakat Cina dan India hasil program turun padang berterusan dilaksanakan pemimpin parti itu, termasuk pendekatan dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak.
“Walaupun Parlimen Merbok dikuasai pembangkang, namun penduduk dikawasan ini lebih menyenangi kepimpinan BN yang sentiasa mendampingi rakyat dan kita menjadi tempat mengadu masalah sehinggakan pejabat Parlimen UMNO Merbok tidak pernah putus dikunjungi orang ramai.

“Selama empat tahun ini, kita menjalankan tanggungjawab seolah-olah Merbok dikuasi BN, termasuk mengerakkan jentera parti turun padang mendekati  penduduk setempat. Ia termasuk di DUN Bukit Selambau dan Tanjung Dawai dan syukur BN semakin diterima.
“Sudah empat tahun di bawah pembangkang, rakyat semakin sedar matlamat perjuangan parti pembangkang bukan untuk rakyat tetapi ketaksuban merebut kuasa selain kebencian terhadap BN,” katanya.

Mengulas mengenai peranan jentera BN itu, Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata , sejak hari pertama kecundang ditangan parti lawan pihaknya merangka pelbagai program dan gerak kerja mendampingi hati rakyat akar umbi, termasuk gotong royong, sarapan pagi bersama penduduk, aktiviti kesukanan dan riadah memenuhi kehendak pelbagai lapisan masyarakat.

Tajul Urus turut serta pada program pelajar di kawasannya.

Tajul Urus berkata, Kerajaan Pusat  juga melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini termasuk di Parlimen Merbok bagi memastikan nikmat kemajuan sama rata dapat dirasai rakyat.

“Nikmat pembangunan sama rata dirasai penduduk di negeri ini seperti pembinaan rumah rakyat miskin yang dinikmati golongan kurang berkemampuan, termasuk menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mahupun Pejabat Pembangunan Negeri.
“Dari aspek pendidikan, Merbok mempunyai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti AIMS yang mampu merubah lanskap pendidikan setempat.

Malah Sekolah Pendidikan Khas termoden iaitu Sekolah Pendidikan Khas Sungai Petani terletak di Tanjung Dawai yang dijangka siap awal 2014 dan pembinaan lebih lima sekolah baru mampu mengubah imej Merbok sebagai hub pendidikan dinegeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen Merbok berpotensi membangun sebagai pusat ilmu, pelancongan, ekonomi dan pertanian berskala besar termoden di Malaysia, sekali gus dapat memberikan manfaat dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Sungai Merbok yang terletak di utara Bandar Sungai Petani dengan kelebaran kira-kira 1,000 meter yang mana di selatan terdapat kawasan peranginan Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai di utaranya.
Dikawasan Sungai Merbok inilah terdapat kesan sejarah awal Ketamadunan Melayu, termasuk perniagaan dan kilang besi ditinggalkan. Justeru, kawasan ini sesuai dibangunkan sebagai tarikan pelancong khusus kepada pelancong domestik dan asing yang dirangka Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata Parlimen Merbok mempunyai 77,744 jumlah daftar pemilih dengan pengundi Melayu teramai iaitu 63 peratus, manakala Cina (17.6), India (17.7) dan lain-lain kaum 1.1 peratus.
Merbok mempunyai 77,744 pemilih dengan 49,355 pengundi Melayu manakala 13,712 (Cina), 13,816 (India) dan 861 (lain-lain).

Berdasarkan taburan pengundi ini lebih 60 peratus daripadanya membabitkan golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar dan taman perumahan baru.

Menyampaikan bantuan kepada penduduk.
“Sejak empat tahun lalu, jentera BN mendekati hampir 70 peratus kawasan di Parlimen ini menerusi pelbagai program turun padang termasuk membabitkan aktiviti gotong-royong , riadah dan kesukanan, selain majlis untuk pelajar, belia, warga tua, orang miskin dan golongan kurang upaya (OKU).
“Baki 30 peratus lagi membabitkan kawasan taman perumahan baru di bandar. Kita akan bekerja keras mendampingi hati penduduk dibeberapa taman baru itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas usaha mengembalikan kepercayaan pengundi, khususnya Cina dan India di Merbok, Tajul Urus berkata, usaha itu dilaksanakan berterusan oleh BN.

“Penerimaan pengundi Cina dan India terhadap BN semakin baik walaupun tidak secara keseluruhan, namun senario ini satu petanda positif terhadap peluang BN kembali berkuasa di kawasan ini.
“Mereka kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pas Kedah yang gagal menjana pembangunan dan tidak mampu melaksanakan misi bantuan bencana,” katanya.

“Kaum lain di negara ini perlu sedar kerajaan BN telus dan berusaha untuk bersikap adil kepada rakyat dalam hal pemberian subsidi, pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Misalnya di kawasan Parlimen ini, hanya 20 peratus subsidi minyak nelayan diberi kepada Bumiputera dan hampir 80 peratus lagi subsidi diberi kepada kaum lain. Selain itu, pinjaman di institusi perbankan kerajaan seperti Bank Pertanian majoritinya diberi kepada bukan Bumiputera.

Selepas empat tahun berlalu, masyarakat Cina dan India di kawasan ini mula sedar bahawa kerajaan negeri sedia ada gagal mentadbir dengan baik untuk menjana pembangunan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan peniaga selain gagal menyelesaikan isu rumah ibadat kaum lain yang sekali gus menguris hati mereka, “ katanya.
"Orang Melayu perlu sedar bahawa kesinambungan kuasa UMNO juga sebenarnya adalah kesinambungan kuasa Melayu di negara ini. Justeru, orang Melayu khususnya generasi muda harus membuka mata mengenai betapa pentingnya UMNO dan BN demi memperjuangkan hak bangsa kita.

“Bagi saya tiada jalan mudah menawan semula Kedah dan Perlimen Merbok, kecuali jika semua ahli UMNO dan BN bersatu dan rela berjuang dengan misi sama,” katanya. – BH

Tiada ulasan: