Rabu, 23 Mei 2012

RM43.85 Billion Dilulus Sejak PTPTN Ditubuhkan.


MERBOK - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah meluluskan pembiayaan pendidikan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.85 billion kepada 1.96 juta peminjam sejak penubuhannya pada 1997.

Mendedahkan perkara itu, ahli lembaga pengarah PTPTN, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, hakikat itu adalah selaras dengan objektif utama penubuhannya iaitu bagi memastikan pembiayaan kewangan yang efisien dapat disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan supaya tiada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab faktor kewangan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di UiTM Merbok disini.Turut hadir Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail serta Rektor Uitm Cawangan Kedah, Prof. Madya Dr. Haidar Dziyauddin.

Pada majlis itu seramai 2,999 orang pelajar baru yang bakal menjejakkan kaki ke IPTA dan Politeknik dari Negeri Kedah, menerima waran WPP yang merupakan sebahagian daripada jumlah pembiayaan pendidikan yang diberikan lebih awal untuk persiapan pelajar sebelum mendaftar masuk ke IPT.

Beliau turut menjelaskan, pinjaman PTPTN bagi Negeri Kedah sehingga 31 Mac 2012 melibatkan seramai 160,495 peminjam dengan peruntukan berjumlah 3.5 billion sehingga tamat pengajian.
Menyentuh isu bayaran balik, beliau berkata, sehingga 31 Mac 2012, PTPTN telah membuat kutipan semula berjumlah RM3.2 billion berbanding komitmen PTPTN untuk membiayai pelajar sehingga tamat pengajian iaitu RM43.85 billion yang merupakan jumlah yang jauh lebih besar berbanding dengan kutipan balik.

"Jadi ini merupakan satu tanggungan oleh PTPTN yang agak besar namun atas dasar tanggungjawab PTPTN terpaksa mencari jalan dalam keadaan apa sekali pun untuk membiayai pelajar-pelajar yang semakin bertambah setiap tahun," katanya.