Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bakar Bata itu berkata, calon Menteri Besar akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali Kedah.
"Yang penting sekarang ialah fokus dan bekerja keras untuk menang, lepas itu kita lihat siapa lebih layak (jadi Menteri Besar),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ketua unit PRU-13 Parlimen Alor Setar di sini Ahad.
Ahmad Bashah berkata, spekulasi bahawa timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bakal menjadi Menteri Besar Kedah dan akan bertanding kerusi DUN pada PRU-13 sengaja ditimbulkan oleh pihak luar bertujuan memecah-belahkan Umno negeri.
"Umno tidak perlu tonjolkan sesiapa untuk jadi Menteri Besar kerana calon yang bakal bertanding pun tidak dihebohkan,” katanya sambil meminta semua media elektronik, cetak termasuk blog segera menghentikan spekulasi tersebut. – BERNAMA