Selasa, 15 Mei 2012

Niat Murni Bertukar Tragedi.

BEDONG – Niat murni seorang anak untuk pulang menemui ibu dirumah sebelum kembali ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan bertukar tragedi apabila terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Siti Maryam Abdul Rahman, 33, ibu kepada Muhamad Adam Samsudin, 13 , menceritakan, pada tanggal 25 April, 2011, anaknya yang ketika itu pelajar tahun 6, Sekolah Kebangsaan Seri  Aman disini dalam perjalanan untuk ke sekolah apabila dilanggar sebuah kereta yang dipandu laju hingga mengalami kecederaan parah.

Akibat kemalangan itu, Adam anak sulung dari 2 beradik, mengalami kecederaan otak, keretakan tempurung kepala serta kecederaan paru-paru. Adam menerima rawatan kecemasan di Hopital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan.
Adam, sebelum kemalangan.
Adam yang berada dalam koma selama 2 minggu sebelum mulai sedar tidak lagi seperti dahulu. Kecederaan pada otak yang dialaminya menyebabkan Adam kini terlantar kaku diatas katil sejak setahun lalu.

Maryam yang sebelum ini memiliki sebuah restoran di sini, terpaksa melupakan perniagaannya itu demi untuk memberi tumpuan menjaga Adam.Tinggi harapannya agar Adam kembali pulih.
Ditanya tentang kos bagi penjagaan, Maryam menjelaskan mereka memerlukan sekitar RM1,800 setiap bulan bagi menyediakan keperluan Adam termasuk susu, lampin pakai buang serta kos ulang alik bagi menjalani rawatan fisioterapi di HSAH. Katanya sumber kewangan keluarga itu kini hanya bergantung kepada suaminya yang berpendapatan RM1,8000 sebulan.

Sementara itu, seorang saksi di tempat kejadian yang tidak mahu dikenali menceritakan, ketika kejadian, Adam sedang mengayuh basikalnya melintasi jalan di lintasan pejalan kaki apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju menyebabkan Adam tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kemalangan. Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, kemalangan itu berlaku kerana pemandu kereta tidak berhenti walaupun lampu isyarat merah ketika itu bagi memberi laluan kepada pejalan kaki.

Tajul ketika melawat Adam baru-baru ini.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain ketika mengulas berkenaan perkara itu berkata, pihak beliau telah beberapa kali melawat keluarga Adam serta menghulurkan bantuan dari segi kewangan, susu, lampin pakai buang dan sebagainya.

Beliau juga turut berharap agar pampasan insurans bagi kes ini dapat segera diselesaikan kerana keluarga Adam kini amat memerlukan sokongan kewangan bagi menampung kos rawatan dan penjagaan Adam.

"Kita memahami bahawa dalam kes sebegini, tuntutan insurans selalunya mengambil masa, dan saya tidak pasti samada ia boleh dipercepatkan atau tidak, namun kita akan cuba untuk sentiasa bersama keluarga Adam bagi membantu setakat yang boleh," ujarnya.

Tiada ulasan: