Kerajaan telah menanggung sebanyak RM12.2 bilion memberi
penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan kepada penduduk di negara ini dari
Januari hingga September tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jumlah
itu merupakan 98 peratus daripada kesuluruhan perbelanjaan kementerian dalam
tempoh tersebut yang sebanyak RM12.44 bilion.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mohamed
Aziz (BN-Sri Gading) yang meminta Tiong Lai menyatakan jumlah subsidi yang
ditanggung kerajaan dalam memberi rawatan dan ubat percuma kepada rakyat sejak
tahun lepas hingga tahun ini, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tiong Lai berkata, pada tahun 2010, kerajaan telah
membelanjakan RM14.45 bilion atau 98 peratus daripada RM14.76 bilion peruntukan
tahun itu untuk kemudahan perubatan dan kesihatan.
Katanya, pendapatan yang dikutip oleh kementerian pada 2010
ialah RM311.2 juta dan sehingga September tahun ini, sebanyak RM238.5 juta.
Selain itu, beliau berkata, sehingga September tahun ini
kerajaan juga memberikan bantuan lebih RM58 juta kepada pesakit yang menerima
rawatan di Institut Jantung Negara dan Pusat Hemodialisis swasta melalui Tabung
Bantuan Perubatan.
Pada tahun lepas sebanyak RM57 juta diberikan melalui tabung
itu.
Mengenai pelaksanaan bil terperinci, katanya, sistem yang
digunakan oleh sembilan hospital sejak ia dilaksanakan Jun lepas, akan
diperluaskan ke semua hospital kerajaan tahun depan.
Katanya, melalui bil yang menunjukkan kos sebenar sesuatu
rawatan itu, rakyat akan lebih memahami jumlah subsidi yang telah ditanggung
kerajaan dalam setiap rawatan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan