Jumaat, 29 Jun 2012

Selamatkan Malaysia Dari Pengkhianat Bangsa.


BEDONG - Barisan Nasional (BN) telah menjaga Malaysia dengan baik serta menjadikannya sebuah  negara yang makmur dan maju.Namun apa yang pelik, di sebalik kejayaan ini, parti pembangkang di negara ini terus menabur fitnah setiap hari dengan menyatakan bahawa negara ini berada dalam bahaya.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, apa yang lebih pelik, masih ada pihak yang mahu mempercayai fitnah yang telah berterusan sejak bertahun-tahun walaupun apa yang diperkatakan itu akhirnya terbukti tidak benar. Golongan ini katanya seolah-olah sudah ketagih dan sentiasa menunggu kemunculan fitnah terbaru yang memburuk-burukkan kerajaan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program hari keluarga Pergerakan wanita UMNO Bahagian merbok di kawasan Rekreasi Tupah di sini.

Mengulas program 'selamatkan Malaysia' yang dianjurkan oleh PKR yang berkonsepkan hiburan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Tajul berkata, kerajaan BN telah berusaha untuk menyelamatkan Malaysia dari pengkhianat bangsa dan negara iaitu 'Anwar Ibrahim'.
“Pengkhianat bangsa dan negara  ini, berkempen disana sini buat fitnah kononnya nak selamatkan Malaysia, hakikatnya, yang merosakkan negara kita pada hari ini bukan kita tetapi dia,” katanya.

Kerana itu katanya, rakyat malaysia khususnya ahli-ahli UMNO perlu sentiasa bersatu padu dan terus berjihad menentang fitnah serta kemusnahan negara ini.
"Kita perlu sedar bahawa kekuatan kita bergantung kepada perpaduan kita," katanya.