Khamis, 1 November 2012

Lebuh raya sungai di Kedah.


SUNGAI PETANI 31 Okt. - Rakyat negeri ini khususnya kalangan petani dijangka meraih satu lagi manfaat daripada Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan projek 'lebuh raya sungai' dari Empangan Pedu sehingga ke daerah Kuala Muda.
Projek lebuh raya sungai itu dicadangkan bertujuan mengalihkan aliran air sungai yang bengkak-bengkok di beberapa daerah di Kedah, bagi mengelakkan berlaku kerosakan tanaman padi akibat air sungai masuk ke kawasan sawah padi.
Sebelum ini, apabila tiba musim tengkujuh banyak padi yang rosak dan musnah, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar hingga jutaan ringgit untuk diberikan kepada petani sebagai ganti rugi.
Selain itu, katanya, projek tersebut juga bertujuan memudahkan air disalurkan ke kawasan tanaman padi yang kini mempunyai keluasan kira-kira 38,000 hektar di kawasan Kedah tengah.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat setiap golongan termasuk petani yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada negara.
"Saya selaku Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk golongan ini," katanya ketika berucap dalam majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Pantai Merdeka di sini hari ini.
Lebih 15,000 peladang, penternak dan nelayan seluruh negeri Kedah menghadiri program yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Dengan terlaksananya projek yang pernah dicadangkan oleh LPP itu, lebih 3,000 keluarga petani dijangka meraih manfaat melalui peningkatan pengeluaran hasil padi sedia ada daripada 2.8 metrik tan sehektar kepada 10 metrik tan sehektar.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melahirkan penghargaan kepada golongan petani dan nelayan atas jasa besar mereka kepada negara.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan memahami aspirasi setiap golongan termasuk petani.