Ahad, 23 September 2012

PTPTN kini tawar pinjaman pengajian peringkat Sarjana, phD.



Datuk  Hj. Tajul Urus Mt Zain mengiringi Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin menyempurnakan majlis perasmian gelanggang futsal Kampung Bujang di program kemasyarakatan Kampung Bujang semalam.

SUNGAI PETANI 22 sept - Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini menawarkan pinjaman kepada orang ramai yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan doktor falsafah (phD) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

Bagi pelajar peringkat ijazah yang masih berhutang tetapi ingin melanjutkan pelajaran diminta berhubung dengan pengawai PTPTN untuk menangguhkan pinjaman mereka sementara memohon untuk mendapatkan PTPTN baru bagi melanjutkan pelajaran.
Ahli lembaga pengarah PTPTN, Datuk Hj.Tajul Urus Mat Zain berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program kemasyarakatan di Kampung Bujang anjuran pejabat Penyelaras Parlimen Merbok dengan kerjasama PTPTN, UiTM Merbok dan JKKKP Kampung Bujang.
Turut hadir Rektor UiTM Kedah, Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin serta pengurus kanan pelaburan PTPTN, Tuan Din Tuan Mat.

Tajul Urus  yang juga merupakan ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, mereka yang memilih melanjutkan pelajaran di IPTS bagaimana pun hanya dibenar jika mengikuti pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Terbuka Wawasan, Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dan Asia E Universiti.


Tambahnya jumlah pembiayaan hanyalah untuk membiayai yuran pengajian yang ditetapkan oleh IPTA dan tidak melebihi jumlah maksima seperti mana yang dinyatakan dalam Pekeliling PTPTN Bilangan 2 Tahun 2007.