Ahad, 2 September 2012

Bersatu hadapi PRU-13.


Semua ahli UMNO Bahagian Merbok diseru memainkan peranan untuk mendapatkan sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, seruan itu perlu disahut atau UMNO akan berhadapan kesukaran untuk menawan Parlimen Merbok.
“Kita perlu bersatu kerana jika ada sebarang perpecahan maka laluan untuk UMNO menawan Merbok dilihat amat sukar,” katanya
Ahli UMNO perlu juga menyokong setiap calon yang dipilih pucuk pimpinan parti pada PRU akan datang untuk memastikan kemenangan parti itu.
Selain itu, katanya, Ahli UMNO juga perlu memainkan peranan untuk  menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang sebelum PRU akan datang. Menurut beliau setiap isu berkenaan perlu diselesaikan dengan cara berhemah.

Jelasnya usaha itu bertujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa isu yang ditimbulkan pembangkang selama ini semata-mata untuk meraih undi.
Tajul Urus yang juga merupakan penyelaras Parlimen Merbok bercakap kepada media semasa menghadiri Persidangan Agung Perwakilan 3 sayap iaitu PUTERI, WANITA dan PEMUDA semalam.
Persidangan puteri diadakan di dewan Hotel Aman Pura, sementara Persidangan wanita diadakan di Dewan MRSM, Merbok manakala persidangan Pemuda diadakan di Kelab Cinta Sayang.
Beliau berkata,kemenangan parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu bukan kerana parti tersebut kuat tetapi kelemahan BN yang tidak bersatu padu.