Pro-Aspirasi Catat Kemenangan Besar di Tujuh Buah Universiti dan Menang Tipis Di UM
Kumpulan pro-establishment, Aspirasi Mahasiswa
telah menang besar dalam pilihan raya kampus di tujuh daripada 15 buah
universiti awam pada Selasa.
Universiti-universiti berkenaan ialah Universiti Putra
Malaysia (UPM); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas); Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI); Universiti Malaysia Pahang
(UMP); Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia (UPNM).
Sementara di Universiti Malaya (UM), Aspirasi Mahasiswa yang
juga dikenali dengan nama Pro-Aspirasi telah memberi tentangan yang sengit
kepada pencabar mereka iaitu Pro Mahasiswa atau Pro-M.
Aspirasi memperolehi 21 kerusi manakala Pro-M pula 20
kerusi. Dua buah kerusi lagi di UM terpaksa menjalani proses undian semula esok
(Rabu) kerana keputusan adalah seri.
UM memang dikenali sebagai kubu kuat Pro-M sebelum ini.
Di UPM, Pro-Aspirasi telah memenangi 39 daripada 47 kerusi
yang dipertandingkan, di UUM 34 kerusi daripada 36; di Unimas kesemua 12 kerusi;
di UPSI 25 daripada 29 kerusi; di UMP 22 daripada 24 kerusi; di UMT 18 daripada
20 kerusi dan di UPNM pula mereka menang kesemua 14 kerusi.
Sehingga berita ini ditulis pada jam 8.45 malam, lain-lain
keputusan di tujuh buah universiti lagi iaitu Universiti Sains Malaysia (USM);
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM);
Universiti Malaysia Sabah(UMS); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti
Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masih
belum diketahui.
Sementara itu di UIAM, laporan terbaru yang diterima
mengatakan kiraan undi di kesemua 31 kerusi yang dipertandingkan tidak dapat
dilakukan kerana kerosakan kepada sistem undian elektronik yang baru
diperkenalkan tahun ini.
Oleh yang demikian undian akan dijalankan semula esok.
Khamis lalu, dalam pemilihan di lima buah universiti,
Aspirasi Mahasiswa turut mencatat kemenangan besar menewaskan Pro-M. Lima
universiti itu ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti
Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Aspirasi
Mahasiswa menang kesemua kerusi di UiTM (50 kerusi), UniMAP (31), UTeM (28) dan
UniSZA (24).
Sementara di UTHM, Aspirasi Mahasiswa telah memenangi 25
daripada 27 buah kerusi yang dipertandingkan.
MStarOnline.