Pada 2010, sekumpulan pakar
arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) membuat penemuan baharu di
Sungai Batu, Lembah Bujang, Merbok dekat sini yang bakal mengubah tanggapan
orang ramai berhubung tamadun tertua di rantau ini.
Sejak penemuan itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan kerajaan menerusi kementerian itu
akan membangunkan Sungai Batu dan menyenaraikannya sebagai satu warisan yang
tidak ternilai.
Pada 10 Mei lepas, Rais mengisytiharkan 154 butiran sebagai
Warisan Kebangsaan Negara, yang termasuk Tapak Arkeologi Sungai Batu yang
dikategorikan sebagai Warisan Ketara, selain Bukit Bunuh, Lenggong dan Gua Batu
Tambun, kedua-duanya di Perak.
Pengumuman itu memperlihat kesungguhan kerajaan Pusat
memajukan mana-mana kawasan di negara ini walaupun hakikatnya Kedah kini
dikuasai pakatan pembangkang, malah kawasan Parlimen Merbok yang dulunya kubu
kuat Barisan Nasional (BN) kini dipegang parti pembangkang.
Rais beberapa kali menyatakan keinginan untuk menunjukkan
kepada dunia bahawa tamadun awal di Asia Tenggara adalah di Lembah Bujang, dan
bukannya di Indonesia kerana adanya Borobudur atau di Kemboja yang terkenal dengan
Angkor Wat.
Walaupun berdepan dengan masalah pengambilan tanah terutama
tanah milik individu, kementerian itu memberikan peruntukan yang besar
untuk membeli tanah daripada individu-individu terlibat bagi memastikan pembangunan di Sungai Batu dapat dijalankan.Jika projek ini berjalan lancar, manfaatnya adalah kepada
masyarakat sekitar Merbok.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM Prof
Madya Dr Mokhtar Saidin berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan (KPKK) mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan Sungai Batu itu
sebagai Taman Warisan Arkeologi Lembah Bujang supaya khazanah sejarah negara dapat
dipelihara sebaik mungkin.
Mokhtar berkata untuk permulaan KPKK akan mewujudkan galeri
yang dijangka siap pertengahan tahun depan.
"Kita dah mula perbincangan dan ada peruntukan daripada
kementerian (KPKK) RM20 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu
separuh untuk pembelian tanah dan selebihnya bagi mewujudkan galeri yang dijangka
siap pertengahan atau hujung tahun depan," katanya sambil menambah Sungai
Batu mempunyai potensi untuk menjadi satu produk pelancongan yang sangat berharga.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok Datuk Tajul Urus
Md Zain (gambar) berkata, kerajaan pusat sentiasa merancang untuk memajukan kawasan
itu dan kini kawasan Parlimen Merbok juga dilihat berpotensi untuk menjadi satu
kawasan pendidikan.
Katanya, jika perancangan kerajaan Pusat dapat dilaksanakan,
Merbok bakal menjadi hab pendidikan memandangkan institusi pendidikan
tumbuh dengan pesat disitu ketika ini.
"Sekarang ini dari kawasan Lembah Bujang yang bermula
dari Pekan Semeling hingga ke Kampung Bujang, kita ada Universiti AIMST, UiTM
(Universiti Teknologi Mara), MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan yang terbaru adalah
pembinaan sekolah rendah dan menengah untuk golongan OKU (Orang Kurang Upaya),"
katanya.
Tajul Urus berkata selain itu beliau mengemukakan cadangan
kepada Kementerian Pengajian Tinggi supaya membina Kolej Komuniti di Parlimen
Merbok di samping berusaha untuk membina sebuah lagi sekolah kebangsaan
berikutan pertumbuhan pesat penduduk.
Impak daripada pembangunan pesat institusi pendidikan itu,
Tajul Urus berkata secara tidak langsung dapat menonjolkan kewujudan Merbok
yang semakin membangun, kepada masyarakat di seluruh negara termasuk mampu
meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
"Walaupun (Barisan Nasional) kalah, ia tidak
menjejaskan usaha kerajaan Pusat untuk membangunkan kawasan ini. Sebelum ini banyak orang
luar tidak tahu Merbok ini di mana, tambahan pula banyak hutan di sekeliling.
Sekarang banyak institusi pengajian tinggi wujud dan orang kampung yang berniaga akan mendapat manfaat kitaran ekonomi," katanya.
Bagi meningkatkan industri pelancongan di Merbok yang
dijangka menerima kesan apabila projek pembangunan Sungai Batu menjadi kenyataan,
kerajaan Pusat juga berusaha meningkatkan taraf hidup penduduk miskin sekitar
Merbok. Antaranya adalah Projek Chalet Terapung Sungai Merbok.
Pembantu Ehwal Ekonomi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)
Merbok Rostam Abd Ghani berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat memberi peruntukan berbentuk geran bernilai RM1.1 juta untuk
melaksanakan projek itu.
Rostam berkata 111 penduduk miskin terpilih untuk terlibat
dalam projek itu yang mana mereka akan diberikan dividen hasil daripada keuntungan
projek itu bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.
"PPK Merbok dipilih sebagai pelaksana projek untuk
peserta e-Kasih dan Azam Tani dengan setiap seorang diberi RM10,000 tetapi bukan berbentuk
tunai. Mereka yang terdiri daripada 73 penduduk dari Merbok, 24 dari Sungai
Petani dan 14 dari Kuala Muda Selatan itu akan diberi dividen sebanyak 70
peratus keuntungan bersih daripada perniagaan chalet terapung itu," katanya.
Pengurus Agro Pelancongan Chalet Terapung PPK Merbok Hamdan
Awang (gambar) berkata dalam fasa pertama, sebuah bangunan rumah pekerja dan tiga buah
chalet biasa termasuk pelantar pejalan kaki telah pun siap sebagai satu daripada
usaha menambah chalet sedia ada bagi menampung permintaan pelancong.
"Untuk fasa kedua pula, sebuah restoran berserta dua
buah pelantar memancing sedang dibina dan dijangka siap November ini," katanya.
Bagi masyarakat di Merbok, kerajaan Pusat yang diterajui BN
dilihat mempunyai idea yang baik untuk memajukan Merbok sebagai pusat
pelancongan dan pendidikan.Namun untuk memastikan mereka mendapat manfaat yang ketara,
penduduk Parlimen Merbok dan semua Dewan Undangan negeri berkaitan hendaklah
sehaluan dengan kerajaan Pusat, bagi melicinkan pelaksanaan projek-projek
dirancang.
Selain itu, jika Parlimen Merbok terus kekal dikuasai parti
pembangkang, berdasarkan pengalaman lalu, apa yang dirancang akhirnya
tidak akan memihak kepada penduduk Merbok. -- BERNAMA