Sistem kepolisan yang moden dan teratur di negara ini bermula dengan berkuatkuasanya ‘Charter of Justice’ di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807. Piagam tersebut menjadi asas kepada peraturan dan undang-undang yang jelas kepada pihak yang dipertanggungjawab menyelenggarakannya dan menandakan bermulanya penubuhan pasukan polis pertama yang moden di negara ini.
Perkembangan politik dan ekonomi di Tanah Melayu telah
membawa perubahan pada pasukan polis. Sistem kepolisan di negara ini telah
beberapa kali mengalami perubahan sehinggalah membawa kepada penyatuan
pentadbirannya di bawah Panji-Panji Polis DiRaja Malaysia pada 16 September
1963. Selepas Tanah Melayu bebas dari pemerintahan Jepun, pada 1 April 1946
Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
dan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah digabungkan di
bawah Pasukan Polis Malayan Union di mana pemerintahan pasukan berpusat di
Kuala Lumpur.
Pada tahun 1948, pihak komunis telah melancarkan pemberontakan
bersenjata dengan tujuan untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis di Malaya.
Bagi menghadapi ancaman itu, Kerajaan telah mengisytiharkan “Darurat” pada 16
Jun 1948. Semasa perjuangan menentang pengganas komunis selama 12 tahun,
seramai 1,246 orang pegawai dan anggota polis telah terkorban serta 1,447 orang
lagi cedera. Berpunca daripada tindakan berani anggota polis ini seramai 6,711
orang pengganas telah dihapuskan dan 1,289 lagi berjaya ditawan.
Bagi menghalang orang-orang Asli dipengaruhi oleh anasir
komunis, Pasukan Senoi Praaq yang terdiri dari pemuda Orang Asli telah
ditubuhkan pada Mei 1956. Sebagai menghargai kerjasama dan jasa yang diberikan
oleh Senoi Praaq, pasukan Rejiman ke 22, British Special Air Service (SAS)
telah mentauliahkan “Beret Merah” mereka kepada Senoi Praaq. Beret ini masih
menjadi kebangaan Senoi Praaq sehingga kini.
Hampir setahun selepas Hari Kemerdekaan, iaitu pada 24 Julai
1958, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abd
Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamad telah berkenan mengurniakan gelaran
'Diraja' kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Upacara ini dijalankan
di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur. Mulai dari
saat itu pasukan polis dikenali dengan nama "Polis Diraja
Persekutuan" atau "The Royal Federation of Malayan Police".
Pada 11 November 1961, Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan
Agong III, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalulail telah
berkenan pula menganugerahkan Panji-Panji DiRaja kepada Pasukan Polis
Persekutuan Tanah Melayu. Pada 16 September 1963, Pasukan Polis di Tanah
Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura telah disatukan dan dikenali dengan nama
Polis DiRaja Malaysia dengan diperintah oleh seorang Ketua Polis Negara.
Pada 2 Disember 1989 Perjanjian Damai antara Malaysia,
Thailand dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditandatangani di Haadyai,
Thailand. Dengan termeterainya perjanjian tersebut PKM telah meletakkan senjata
dan berakhirlah perjuangan parti tersebut. Pada 17 Oktober 1990 pula Perjanjian
Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Biro Ke-2, Parti Komunis Kalimantan Utara
(PKKU) juga telah ditandatangani di Kuching, Sarawak bagi menamatkan semua
kegiatan bersenjata oleh Biro Ke -2 PKKU di Sarawak.
Dengan perletakkan senjata kedua-dua parti komunis tersebut,
Malaysia kini bebas daripada ancaman komunis, yang sering menggugat keamanan
dan keselamatan negara ini, perhatian kini lebih banyak ditumpukan terhadap
isu-isu pembangunan.
Polis Diraja Malaysia kini bergerak selari dengan wawasan
kerajaan dengan memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah dan dadah. Di
samping itu PDRM juga terlibat dalam usaha mencegah kemasukan pendatang asing
tanpa izin, membanteras lanun dan pemeliharaan alam sekitar seperti mencegah
pembalakan haram. Pasukan polis juga bertanggungjawab dalam menentukan jalinan
mesra dengan orang ramai terus dipelihara agar kerjasama di antara kedua pihak
berjalan lancar di samping menonjolkan imej polis sebagai sahabat yang mesra
dan bertimbang rasa.
Penutup
Pelbagai onak dan duri besulamkan keringat dan air mata
terpaksa dilalui oleh anggota pasukan polis dalam mengekalkan kemerdekaan dan
kedaulatan undang-undang demi memastikan keharmonian rakyat pelabagai kaum dan
kemakmuran Negara dipertahankan.
Kini, pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah menginjak
usia dua abad meneruskan kesinambungan usahanya dengan menumpukan perhatian
kepada usaha membenteras kegiatan jenayah yang boleh mengancam kesejahteraan
umat sejagat.
Selari dengan peredaran masa dan globalisasi, pasukan polis
kini telah dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani sebarang permasalahan
bagi mendukung tugas utamanya, iaitu menjaga ketenteraman Negara dan
kesejahteraan rakyat. Sesungguhnya, segala perjuangan dan pengorbanan anggota
pasukan polis dalam mencapai dan mengekalkan kemerdekaan akan tetap terus
dikenang dan dijulang sebagai wira-wira penegak undang-undang negara.
Sumber Rujukan : Buku ‘Perjuangan PDRM Dalam Mencapai dan Mengekalkan Kemerdekaan Negara’
Dipetik dari mejakerusi.wordpress
Tiada ulasan:
Catat Ulasan