MADINAH-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini untuk menunaikan ibadah haji
hujung minggu ini.
Pesawat yang membawa beliau serta rombongannya mendarat di
Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di sini kira-kira pukul 9 malam,
Isnin (2 pagi hari Selasa waktu Malaysia).
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Gabenor Kota Madinah,
Sulaiman Mohammad Al-Jeraisy dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof Datuk
Syed Omar Al-Saggaf.
Turut berada di lapangan terbang menyambut ketibaan beliau
ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,
Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa”ari dan Ketua Pegawai
Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail.
Perdana Menteri turut diiringi bondanya, Tun Rahah Mohamad
Noah dan adiknya, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.
Zambry Abdul Kadir.
Najib dijadual menziarahi makam Rasulullah SAW di Masjid
Nabawi sebelum berlepas ke Jeddah untuk memasuki kota Mekah bagi menunaikan
umrah, esok.
Pada hari Rabu pula beliau akan mengunjungi ibu pejabat
Tabung Haji di hotel Abraj Al-Janadiriah di Mekah, dan meluangkan masa untuk
bertemu dengan jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel itu.
Najib dan isteri akan berwukuf di Arafah pada hari Sabtu
ini, bersama lebih tiga juta umat Islam yang lain dari seluruh dunia, yang
menunaikan haji tahun ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan