Najib Tun Razak berucap kepada jemaah ketika mengadakan
lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di Mekah, semalam.
|
MEKAH - Perdana Menteri berkata, sokongan kerajaan
yang kuat serta pengurusan yang cekap oleh pihak yang bertanggungjawab,
menjadikan urusan umat Islam di Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji menjadi
amat mudah serta efisien dan kehebatannya itu tidak dapat ditandingi negara
lain di dunia.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia disebabkan kecekapan
kerajaan serta pihak terbabit dalam mencari peluang serta usaha keras
menghimpun dana, khusus bagi menambah lagi kemampuan dalam membantu umat Islam
mengerjakan ibadah haji.
Beliau berkata, keistimewaan Lembaga Tabung Haji ialah ia
dapat menyediakan urusan haji yang amat baik apabila jemaah mendapat pulangan
nilai perbelanjaan yang tinggi serta penyediaan makanan, penginapan,
pengangkutan, kaunseling, perubatan dan sebagainya.
"Di samping itu, nilai subsidi 20 peratus (diberikan
kerajaan kepada jemaah) daripada kos sebenar yang ditanggung jemaah muasassah
iaitu kira-kira RM4,300 merupakan nilai yang amat bermakna kepada mereka,
tahniah kepada Tabung Haji atas urusan yang dapat sambutan positif dari jemaah
haji," katanya dalam satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji di
sebuah hotel di sini, hari ini.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri bersama rombongannya
yang termasuk bonda Najib, Tun Rahah Mohamad Noah dan adiknya, Datuk Mohamed
Nazim serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di sini pada
kira-kira pukul 9.30 pagi, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Muasassah Asia Tenggara, Zuher Abdul
Hamid.
Najib berkata, kerajaan berusaha memudahkan umat Islam di
Malaysia melakukan haji menerusi kaedah yang boleh dilaksanakan dengan bilangan
yang ramai.
Menurutnya, hubungan baik negara dengan kerajaan Arab Saudi
membolehkan Malaysia sentiasa mendapat pertimbangan sewajarnya dalam perkara
itu.
"Sebab itu, apabila mangkat Putera Mahkota Arab Saudi,
Sultan Abdel-Aziz al-Saud baru-baru ini, saya sendiri ambil keputusan untuk
datang menziarah, bersama Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) untuk memperlihat betapa berat pandangan
kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap hubungan kita yang sangat akrab dengan
kerajaan Arab Saudi," katanya.
Menurutnya, sikap jemaah haji Malaysia serta pengurusan
ibadah haji yang baik mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi sehingga ia
sentiasa mendapat pujian banyak pihak di sini.
Perdana Menteri berharap rekod pencapaian yang baik dari
segi pengurusan ibadah dan sikap jemaah haji dari Malaysia yang ditunjukkan di
sini dapat dikekalkan.
Sementara itu, Najib berkata, Malaysia juga seharusnya
mencari peluang-peluang perniagaan di sini, termasuk dalam pemerolehan ekuiti
dan juga projek jangka panjang.
"Tapi peluang tidak semestinya terbatas kepada Tanah
Haram sahaja, tapi mesti menjangkau secara global, asalkan ia patuh kepada
prinsip syariah, maka Tabung Haji atau syarikat perlu juga cari peluang di
tempat lain di Arab Saudi, tidak boleh membataskan kepada tanah haram sahaja
kerana perspektif itu tidak akan menguntungkan," katanya.
Perdana Menteri kemudiannya dibawa menemui kumpulan imam dan
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang mendapat penajaan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Sementara itu, Rosmah mengambil peluang untuk melawat bilik
rawatan di Hotel Janadiriah sebelum menyertai Najib untuk menikmati jamuan
bersama dengan beberapa jemaah haji yang terpilih.
Kedua-dua mereka kemudiannya beramah mesra dengan beberapa
jemaah haji di surau sebelum berlepas pulang ke hotel penginapan pada kira-kira
pukul 12 tengah hari. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan