Selasa, 18 Disember 2012

Peruntukan RM540 juta kepada murid di 10,019 sekolah, bantuan awal persekolahan diagih mulai 15 Januari 2013.

Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan.

Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun bank.
Menurut kenyataan tersebut, mana-mana sekolah yang menerima kurang peruntukan, perlu membuat permohonan tambahan peruntukan beserta penyata bank sekolah dan jumlah yang diperlukan kepada Bahagian Kewangan kementerian secepat mungkin.
Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.
''Tarikh pemulangan lebihan peruntukan juga ditetapkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana sekolah yang menerima lebihan peruntukkan bantuan tersebut,'' kata kenyataan itu.
Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013.

Tiada ulasan: