Ahad, 16 Disember 2012
Keputusan pemilihan CEC bukti Melayu tiada tempat dalam DAP.
Orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada keputusan pemilihan jawatan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP di Pulau Pinang semalam yang menyaksikan kesemua lapan pemimpin Melayu parti itu kecundang dan tidak mendapat tempat dalam kepimpinan parti.
Penganalisis politik Dr Azmi Hassan berkata keputusan itu jelas memperlihatkan DAP yang dikatakan parti berbilang kaum sebelum ini cuma cakap kosong dan seperti tulisan di atas kertas sahaja.
Beliau berkata sikap anggota peringkat akar umbi DAP yang tidak mengundi pemimpin Melayu jelas menunjukkan mereka tidak menginginkan kaum lain menerajui parti itu.
"Sikap anggota DAP menunjukkan mereka hanya mementingkan kaum mereka dan tidak mahu berkongsi kuasa dengan dengan kaum lain," katanya kepada Bernama di sini hari Ahad.
Azmi yang juga Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata beliau turut tidak menolak kemungkinan sekiranya DAP berpeluang mentadbir negara ini, nasib sama akan berlaku kepada pemimpin Melayu lain.
"Atas apa yang berlaku ini, orang Melayu perlu mengambil pengajaran sebab begitu terang sekali menunjukkan DAP tebal dengan sikap mementingkan kaum sendiri," katanya.
Calon yang disingkir ialah Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari (305 undi), Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang Zulkifli Mohd Noor (216 undi), Senator Ariffin S.M Omar (748 undi), Naib Pengerusi DAP Johor Ahmad Ton (347 undi), Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (121 undi), Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim (98 undi), Roseli Abdul Ghani (39 undi) dan Harun Ahmad (28
undi).
Sementara itu Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata perjuangan orang Melayu dengan DAP ibarat satu perjuangan yang sia-sia.
Beliau berpendapat sekiranya orang Melayu menyertai parti itu diumpamakan sebagai tindakan yang membahayakan kesucian dan kedudukan Islam di negara ini.
"Mereka (orang Melayu) masuk DAP seolah-olah turut menyokong satu parti yang menginginkan kesamarataan agama dalam negara ini...tiada hak istimewa agama Islam," katanya. Sehubungan itu Syed Hassan menyeru orang Melayu membuka mata dan minda dengan luas terhadap kepentingan menjaga kesucian Islam dengan cara tidak menyokong DAP.
"Kalau hendak sokong parti, tengok dulu perjuangan sesuatu parti itu. Kena pandai menilai dan memilih parti mana. Pilih parti yang ada untuk perjuangkan agama, bangsa dan negara," katanya.
Presiden Pertubuhan Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad pula berkata kejadian yang menimpa lapan pemimpin Melayu DAP itu jelas membuktikan parti dominasi kaum Cina itu menafikan hak orang Melayu dalam DAP.
Beliau yang juga bekas Ketua AMK (PKR) Kelantan mencabar pemimpin Melayu yang masih berada dalam DAP supaya segera meninggalkan parti itu bagi menjamin hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan.
"Sekiranya DAP memerintah negara ini apakah jaminan parti itu untuk memelihara hak istimewa orang Melayu dan mengekalkannya dalam perlembagaan?," katanya.
-- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan