ALOR SETAR 9 Dis. - Peranan Barisan Nasional (BN) Kedah
dalam menjaga kebajikan rakyat cukup menyerlah dalam pelbagai program yang
dijalankan termasuk secara rasmi dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan
Pusat atau atas kapasiti UMNO bahagian, wakil rakyat dan pemimpin parti.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata,
antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerusi
Program Jasa Prihatin, Kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit
Penyelarasan dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Lembaga
Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
"Antara bantuan kebajikan yang disalurkan adalah
membantu mangsa kebakaran, mangsa ribut, banjir, sakit, tanaman yang mengalami
kerosakan, keluarga susah, bantuan rawatan di hospital serta bantuan
persekolahan.
"Begitu juga apabila tiba musim perayaan seperti
Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, pelbagai jenis bantuan dihulurkan
bagi memastikan golongan kurang berkemampuan turut sama menyambut perayaan
berkenaan dengan meriah," katanya di sini hari ini.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri berkata, pada Ramadan lalu, kira-kira 45,000 penduduk miskin mendapat
bantuan barangan keperluan dan wang tunai.
Katanya, dalam sambutan Deepavali dan Tahun Baru Cina pula
pemimpin BN sentiasa sibuk turun padang bertemu rakyat dan menyampaikan bantuan
kerana parti itu amat merasai denyut nadi rakyat yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, antara bantuan terbaharu adalah sumbangan
RM3,000 seorang kepada 12 peniaga di Pekan Jeniang yang premis peniagaan mereka
terbakar pada Oktober lalu.
"Semasa banjir besar melanda Kedah pada 2010, pemimpin
BN Kedah adalah yang paling ke hadapan membantu mangsa banjir.
"Mereka bertungkus lumus membantu di pusat pemindahan
banjir, membantu menghulurkan makanan kepada mangsa yang tidak mahu berpindah
serta melawat rumah mangsa banjir bagi memastikan keselamatan dan keperluan
mereka," katanya.
Ahmad Bashah berkata, selepas banjir 2010, pelbagai jenis
bantuan dihulurkan seperti wang RM500 kepada keluarga yang terlibat, bantuan
barangan seperti tilam dan dapur serta bantuan terhadap kerosakan tanaman.
Bagi BN Kedah, katanya, memang menjadi iltizam parti itu
untuk membantu seluruh rakyat Kedah terutama di saat mereka paling memerlukan
iaitu semasa bencana dan kesusahan.
"Kita adalah parti yang peduli dengan kesusahan rakyat
dan akan berusaha membantu mereka sedaya upaya.
"Janji kita juga, rakyat akan sentiasa dibantu. Kita
mahu setiap rakyat turut sama merasai nikmat kejayaan negara. Yang susah adalah
keutamaan BN Kedah," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, BN Kedah akan terus
memperbanyakkan bantuan kepada seluruh rakyat negeri ini sekiranya diberi
peluang memerintah Kedah kembali.
Menurutnya, BN amat menyedari rakyat mengharapkan bantuan
kerajaan dan BN adalah parti yang sentiasa mempedulikan rakyat menerusi slogan
'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
"Memperjuangkan kepentingan rakyat adalah azimat dan
matlamat kami dan kami akan berusaha demi rakyat Kedah, itu janji kami,"
katanya. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan