Sabtu, 9 Februari 2013

Seorang wakil Jawatankuasa Disiplin UMNO Di Setiap Bahagian Untuk Elak Sabotaj Parti!



KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Disiplin UMNO akan melantik seorang wakil dari setiap bahagian di seluruh negara bagi memantau sebarang tindakan atau aktiviti yang boleh merosak atau bersifat sabotaj terhadap parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia juga bagi menjamin sebarang perbuatan itu akan dapat ditangani dengan segera sekiranya berlaku.

Beliau berkata, keputusan itu membabitkan pemilihan seorang daripada tujuh perwakilan UMNO pada peringkat bahagian ke Perhimpunan Agung parti itu, tahun lalu.

"Setiap bahagian akan ada wakil dalam jawatankuasa, wakil-wakil itu sedang dikenal pasti,'katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, Jumaat.

Perdana Menteri berkata, pemilihan pemantau juga perlu membabitkan individu yang tidak mempunyai jawatan dalam parti pada peringkat bahagian UMNO.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan jentera UMNO pada pilihan raya ini.

"Kita sudah terima laporan audit hingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mengikut laporan itu kita berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan (jentera) yang memuaskan," katanya.

"BN berada pada peringkat bersiap sedia dan di peringkat akhir menyenaraikan nama-nama calon pada pilihan raya umum ke 13 (PRU-13) nanti.

“Kita harap usaha untuk memantapkan lagi kesiapsiagaan kita akan diteruskan melalui pimpinan negeri dan bahagian sehingga peringkat PDM, dan jawatankuasa disiplin pun boleh mulakan tugas mereka,” tambah Najib.

Jawatankuasa Disiplin Umno telah diperkenalkan mengikut fasal 10.15 selaras 20.3 dalam perlembagaan Umno bagi memantau dan mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli parti yang melakukan khianat dan cubaan sabotaj terhadap parti

Majlis jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauden Tengku Ismail.

Tiada ulasan: