Khamis, 7 Februari 2013

Sesat Anak Murid Kerana Guru, Hadi tertekan akibat kesilapan sendiri.



MACHANG 6 Feb - Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan pengikutnya sebagai melampau membuktikan beliau kini berada dalam keadaan tertekan ekoran kesilapan sendiri.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Wan Ismail Wan Ahmad, berkata, dakwaan tersebut hanya timbul selepas Abdul Hadi mula berasa tertekan ekoran isu amanatnya yang kembali mencetuskan kontroversi.

"Ini jelas menunjukkan beliau ingin melindungi kesilapannya sendiri selepas berasa terancam apabila banyak pihak mempertikaikan kredibilitinya dalam pelbagai aspek termasuk dalam isu amanat itu.

"Soal Pas mengkafirkan UMNO ini bukan perkara baru tetapi sejak dulu-dulu lagi sehingga ada yang berpecah-belah sesama sendiri. Putus hubungan keluarga dan sebagainya.

"Tetapi oleh kerana keegoannya beliau tidak mahu menerima hakikat kesilapannya itu, jadi letak kesalahan kepada orang lain. Pemimpin apa begini," katanya ketika diminta mengulas kandungan buku Amanat Haji Hadi: Antara Fitnah & Fakta semasa ditemui di sini hari ini.

Menerusi buku tersebut, Abdul Hadi mendakwa Pas telah mentarbiahkan ahlinya agar jangan sewenang-wenangnya menghukum orang lain sebagai kafir dan beliau menyifatkan tindakan keterlaluan penyokong parti itu sebagai pelampau.

Wan Ismail yang juga pengasas Pas Kelantan berkata, daripada segi prinsip, penyokong atau pengikut tidak akan bersikap 'pelampau' sekiranya ketua sesebuah kumpulan mampu mentarbiahkan pengikutnya secara bijaksana.

"Sesat anak murid sebenarnya kerana guru, bukan kerana anak murid. Anak murid pada asasnya tidak tahu apa, dia hanya terima ajaran guru. Sebab itu saya sejak awal-awal lagi, semasa amanat itu dikeluarkan saya sudah menolaknya," katanya.

Dalam pada itu beliau menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan dakyah Pas yang menjadikan agama sebagai modal bagi memancing undi setiap kali menjelang pilihan raya.

Katanya lagi, dasar perjuangan parti itu kini sudah terlalu jauh menyimpang dari landasan sebenarnya ekoran kehendak pemimpin Pas yang terlalu dahagakan kuasa.

Kata beliau, penyimpangan itu dilihat semakin ketara sejak ia bersekutu dengan DAP sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan parti yang terang-terangan menolak Islam termasuk dalam soal akidah.

"Sebagai seorang Islam perkara sedemikian mesti diperhalusi dengan sedalam-dalamnya. Jangan kita terperangkap dalam syirik yang tersembunyi kerana ini satu hukuman yang sangat bahaya," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130207/po_05/Hadi-tertekan-akibat-kesilapan-sendiri#ixzz2KDJOeOR4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: