Terpaksa terjun di tengah
laut dan berenang lebih 24 jam dari perairan Johor ke Pulau Batam selepas bot dinaikinya ditahan penguat kuasa maritim antara pengalaman
mengerikan seorang remaja yang lari mengikut teman lelakinya berasal dari Pulau
Flores, Indonesia hampir enam tahun lepas.
Namun tindakan nekad Munirah Abdul Hamid, 22, itu menjerat
diri apabila sebaik terjun ke laut dia terpisah dengan teman lelakinya dan bagi menampung kehidupan di Pulau Batam, dia bekerja sebagai pembantu rumah selama dua tahun dengan bayaran serendah 250,000 rupiah (RM80) sebulan sebelum bertemu semula dengan teman lelakinya.
Katanya, sebaik berjumpa dengan teman lelakinya itu, dia
terus diajak untuk pulang ke kampung halaman lelakinya di Pulau Flores.
Namun, disebabkan serik untuk meneruskan kehidupan di negara
asing, dia menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan turut
memaklumkan kepada lelaki berkenaan bahawa ayahnya akan datang untuk membawanya
pulang.
"Marah dengan apa yang saya katakan, teman lelaki
merampas telefon bimbit saya dan terus membuangnya sehingga menyebabkan saya
tiada pilihan lain kerana langsung tidak mengingati nombor telefon keluarga di
kampung.
"Sebaik tiba di Pulau Flores, saya ditinggalkan teman
lelaki. Buntu mengenangkan nasib, saya membawa diri di sekitar pulau berkenaan
sehingga bertemu dengan suami saya sekarang di sebuah rumah sakit dan dialah
yang banyak membantu saya untuk mencari semula keluarga di kampung,"
ujarnya.
Dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M)
Munirah berjaya dibawa pulang dan ketibaannya di Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang hari ini disambut dengan linangan air mata oleh anggota keluarganya.
Munirah yang melarikan diri selepas pulang dari sekolah pada
April 2007 dilihat menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52,
sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, sambil ditemani suami yang baharu
dikahwini setahun lepas, Yohanes Kaya Masan, 35, dan anak lelakinya, Alfon Bayu Rongan, sembilan bulan.
Ditemui pemberita kemudiannya, Munirah menyatakan rasa kesal
dengan apa yang dilakukannya dan memohon maaf kerana menyusahkan ramai pihak
sepanjang proses membawanya pulang ke kampung halamannya di Tanjung Dawai,
Sungai Petani Kedah.
"Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru bersama suami
dan anak serta bertekad tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya.
Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata proses
membawa pulang remaja itu mengambil masa lebih sebulan dan beliau menasihati anak
gadis di negara ini agar berfikir panjang sebelum lari mengikut teman lelaki ke
Indonesia kerana mereka berdepan risiko dikenakan hukuman berat oleh
pemerintah negara itu jika tersalah langkah.
"Ini adalah kes yang paling jauh kita selesaikan dan yang pertama seumpamanya di Daerah Nusa Tenggara Timur, Indonesia,
"Hasil
rundingan dan kerjasama antara kedua belah pihak Munirah dibawa pulang secara baik
walapun dia sepatutnya boleh dikenakan hukuman kerana menceroboh negara
orang tanpa dokumen sah," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid yang bekerja sebagai nelayan
berkata tiada apa yang dapat beliau ucapkan selain rasa syukur dan berterima
kasih kepada KP1M serta Ketua Umno Bahagian Merbok Dato' Hj. Tajul Urus Mat
Zain di atas segala susah payah untuk membantu keluarganya.
Abdul Hamid berkata kira-kira enam bulan lalu, beliau
menerima surat bertarikh 8 Ogos 2012 yang dihantar anaknya, Munirah dari Flores
Timur, Indonesia.
"Munirah menulis alamat bagaimanapun tidak memberikan
butiran lengkap dirinya cuma menyatakan dia berada di Flores Timur dan meminta
tolong dibawa pulang ke Malaysia.
"Selepas terima surat itu saya tidak tahu nak minta
tolong dengan siapa. Alhamdulillah Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul
Urus Mat Zain sudi membantu yang kemudiannya merujuk perkara itu kepada KP1M',
katanya.
1 ulasan:
Semoga ianya menjadi pengajaran kepada semua gadis2 dan wanita2 Malaysia.
Catat Ulasan