Lagu Getaran Jiwa dendangan P. Ramlee dalam filem Antara Dua
Darjat begitu berkesan sekali. Ia menggambarkan betapa resahnya jiwa apabila
kebahagiaan yang diharapkan akhirnya musnah berkecai atas angkara seseorang
yang hidupnya penuh delusi.
Delusi dikaitkan dengan rasa cemburu yang keterlaluan.
Akibat cemburu jugalah menyebabkan seseorang itu terus menyimpan dendam, dan
sentiasa mencari jalan untuk membalasnya.
Itulah juga yang berlaku dalam kehidupan berpolitik di
Malaysia. Akibat delusi, maka pakatan pembangkang terus berusaha menghumban
parti yang masih sah kekuasaannya dengan pelbagai dakwaan buruk sehingga suatu
ketika rakyat seakan-akan resah dan percaya, hanyalah pakatan pembangkang
sahaja parti yang boleh mengembalikan kemakmuran negara.
Pakatan pembangkang dianggap terbaik dan mampu selesaikan
banyak masalah termasuk ekonomi. Setelah berlalu hampir lima tahun lamanya,
kini pakatan pembangkang resah sekali lagi kerana rakyat semakin sedar haknya.
Mereka bangkit beramai-ramai menagih janji, kerana janji itu tidak ditunaikan
dan seringkali diputarbelitkan.
PRU-13 semakin hampir, maka sekali lagi pemimpin berkenaan
bermain kata-kata. Mereka akan lakukan yang lebih baik lagi apabila rakyat
memberikan mereka peluang, yakni mengundi mereka. Namun, kali ini rakyat sudah
tidak lagi membuka ruang simpati. Mereka seakan-akan serik dan tidak mahu
mengulangi kesilapan.
Dengan menggunakan muslihat agama, Mursyidul Am Pas menulis:
Islam itu bukannya singgah pada pepohon atau bumi tetapi kepada manusia.
Sedangkan manusia itu ditempatkan oleh Allah SWT di muka bumi.
Untuk menyelamatkan Islam ialah dengan menjaga manusia,
untuk menyelamatkan manusia dengan cara menjaga keselamatan bumi. Ia merupakan
tugas bertali-tali antara kewajipan menjaga Islam, manusia dan bumi."
(Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, "Ciptaan daratan, lautan sumber
rezeki," Harakah, Bil. 1817: 11-14 Februari 2013).
Sudah empat dekad sebagai wakil rakyat dan lebih dua dekad
sebagai Menteri Besar, Mursyidul Am Pas masih merayu sedangkan rakyat semakin
terhimpit hidup dalam kesukaran peluang kerja, kekurangan prasarana dan penuh
politiking.
Rakyat mula bertanya, kenapa air bersih tidak muncul juga
setelah berjanji akan melakukannya sejak 1997; kini rakyat terhimpit dengan
warna air sungai seperti teh tarik, kerana hutan di hulu sudah digondol.
Peneroka Felda Paloh 4 semakin khuatir, ladang rakyat yang
dijanjikan masih belum menjadi kenyataan. Tapi Menteri Besar terus bermain
kata-kata: ''... kepada orang yang lidahnya fasih dan pintar akan mendorong
manusia bekerja kuat dan rajin, bukan atas dorongan kerajaan atau mana
pihak."
Tidak juga dijelaskan apakah peranan beliau sebagai pemimpin
sudah terlaksana sepenuhnya? Apakah kerajaan pimpinannya sudah sediakan ruang
dan peluang untuk rakyat mencari rezeki dengan tenang? Semuanya dikelirukan
dengan menyatakan bahawa kerajaan yang dipimpinnya telah banyak buat, tapi
rakyat tetap bertanya: Mana? Apa? Bila?
Ketara berbeza. Setelah mengambil alih pentadbiran negara
pada April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tidak percayakan pakatan
pembangkang mampu laksanakan yang terbaik untuk rakyat.
Hari ini, setelah empat tahun memegang tampuk pemerintahan,
terlalu jauh perbezaannya. Rakyat sudah dapat melihat hasilnya manakala pakatan
pembangkang masih terkial-kial membuat janji baharu sedangkan janji lama masih
banyak yang belum ditunaikan.
Perdana Menteri berjaya meletakkan dasar pembangunan yang
tegas dan penuh makna. Ini memperlihatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang
bertanggungjawab dan kuat bekerja, bukannya kuat mencerca.
Langkah pertama yang diambil adalah meletakkan dasar
memperkukuhkan semula perpaduan antara kaum yang mula tercabar oleh selekoh
politik. Dengan memberikan wajah baharu kepada perpaduan dalam gagasan
1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, hasilnya lahirlah
pelbagai jenama yang membawa faedah meluas.
Kini sudah ada BR1M, SL1M, TR1MA, PR1MA, Klinik 1 Malaysia,
Asrama 1 Malaysia, 1M4U, 1MD, dan sebagainya sehingga menyebabkan pakatan
pembangkang kian gelisah dan resah.
Di peringkat nasional pula dilakukan pelbagai bentuk
perubahan yang kemudiannya dijenamakan sebagai Model Ekonomi Baharu. Peraturan
yang dilihat sebagai penghalang dimansuh atau diubahsuai. Kemudiannya
dipatenkan menjadi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Ia dirangka secara
menyeluruh berdasarkan segmen ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan
seterusnya dirangkumkan ke dalam suatu istilah khusus, iaitu Najibnomics.
GTP sudah memasuki fasa kedua. Pengiktirafan antarabangsa
diterima dan Najibnomics dilihat sebagai landasan yang betul dan tepat bagi
berhadapan dengan kelemahan ekonomi dunia. Kini, meskipun ekonomi dunia masih
lembab, menurut banyak pihak, ekonomi Malaysia tetap terus berkembang dan
tumbuh sekadar lima peratus setahun.
Perkara ini tidak berlaku dalam negeri-negeri yang
diperintah pakatan pembangkang. Sebaliknya semakin banyak aset kerajaan negeri
dicair dan dipindah milik bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat hasil.
Kalau dahulu, kawasan tanah tinggi direzabkan sebagai kawasan tadahan air,
sejak terdesak untuk "menunaikan janji" digondolkan bagi mendapatkan
hasil balak.
Semuanya kerana tidak mahu mengingatkan impak masa depan.
Bila bukit dan tanah tinggi digondol, banyak habitat semula jadi pupus manakala
hakisan mudah berlaku. Kesannya, air sungai keruh dan berkeladak manakala hak
rakyat mendapatkan sumber air semakin terjejas.
Bukit Pedu sudah bertukar dari kesegaran fauna dan flora
menjadi bukit botak. Tanah Tinggi Lojing semakin menyesakkan kehidupan suku
kaum pribumi di Hulu Kelantan, mereka sudah kehilangan kawasan rayau untuk
mendapatkan sumber rezeki.
Gugusan Paloh, Gua Musang sudah bertukar dari pemilikan
peneroka kepada ladang rakyat yang belum pun mendatangkan apa-apa hasil.
Janjinya belum tertunai, rumah mampu milik belum juga terbina dan banyak lagi.
Semuanya itu menggambarkan situasi ngeri akibat hanya "janji manis"
tetapi tidak dilaksanakan meskipun kepercayaan sudah diberi. Kini, kepercayaan
itu semakin tipis dan hampir robek.
Hasrat rakyat seringkali diketepikan dan sebaliknya
dibangkitkan emosi rakyat untuk bersatu membina semula kekuatan dengan
melakukan protes jalanan termasuk bakal menagih tindakan ala-Arab Spring.
Sudah kedengaran, jika pakatan pembangkang kalah, Arab
Spring akan berlaku? Tidakkah ini bermakna, pakatan pembangkang sebenarnya yang
mencintai kekecohan manakala BN mencintai kehidupan yang aman, damai dan
sejahtera?
Rakyat Malaysia sedar, untuk meruntuhkan sesuatu yang sudah
ada adalah lebih mudah berbanding untuk mengembalikan keamanan. Pergolakan semula
di Tunisia dan Mesir banyak memberikan pengajaran, ada tangan-tangan ghaib yang
sedang bermain untuk mencetuskan huru-hara kerana mereka bencikan Islam. Mereka
takut kebangkitan Islam bakal menjadi kuasa politik dan ekonomi yang kuat.
Kalaulah itu kaedah yang hendak dilakukan oleh pakatan
pembangkang, lebih baik mereka lupakan hasratnya. Rakyat Malaysia amat tidak
bersetuju, kerana revolusi lebih banyak mengundang bahaya dan bencana, yang
untungnya ialah mereka yang penuh curiga, cemburu dan ingin membalas dendam.
Delusi bukan menyebabkan manusia semakin baik, ia boleh menyebabkan kehidupan
menjadi semakin sukar dan terhimpit.
Sebenarnya, rakyat masih rasional untuk mengesan secara
jelas apa yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang. Hasilnya, dalam tempoh
empat tahun (April 2009 - Februari 2013), belum berlaku perubahan kerajaan dan
rakyat semakin sedar, yang mana permata dan yang mana pula kaca.
Dalam pakatan pembangkang, hampir setiap masa berlakunya
provokasi dan penghinaan. Tetapi, usaha menyembunyikannya sudah tidak dapat
dibendung lagi. Akhirnya pelbagai pembohongan terserlah. Antara pemimpin tiada
muafakat, semuanya mempertahankan pendirian masing-masing dengan berasaskan
matlamat politik walaupun terpaksa menjual diri dan maruah.
Pakatan pembangkang sebenarnya sedang berada dalam situasi
antara sedar dan koma, kerana delusinya kian hebat dan terdesak. Delusi dalam
dirinya sudah tidak terkawal, dan mungkinkah PRU-13 menjadi medan mereka
dikuburkan?
Lebih 13 juta pengundi akan menentukannya, maka
bermacam-macam ketakutan dan janji manis yang bakal mereka berikan. Mereka
takut delusi itu akhirnya menjadikan nyawa politik pakatan pembangkang
ditamatkan secara tragik. Itulah sebabnya, PRU-13 dianggap nyawa dan ibu kepada
semua parti politik yang bakal memasuki arena pertandingan merebut kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan