Ahad, 24 Februari 2013

Remaja Perempuan Menyesal Ikut Kekasih Lari Ke Pulau Flores, Indonesia.



Terpaksa terjun di tengah laut dan berenang lebih 24 jam dari perairan Johor ke Pulau Batam selepas bot dinaikinya ditahan penguat kuasa maritim antara pengalaman mengerikan seorang remaja yang lari mengikut teman lelakinya berasal dari Pulau Flores, Indonesia hampir enam tahun lepas.

Namun tindakan nekad Munirah Abdul Hamid, 22, itu menjerat diri apabila sebaik terjun ke laut dia terpisah dengan teman lelakinya dan bagi menampung kehidupan di Pulau Batam, dia bekerja sebagai pembantu rumah selama dua tahun dengan bayaran serendah 250,000 rupiah (RM80) sebulan sebelum bertemu semula dengan teman lelakinya.

Katanya, sebaik berjumpa dengan teman lelakinya itu, dia terus diajak untuk pulang ke kampung halaman lelakinya di Pulau Flores.

Namun, disebabkan serik untuk meneruskan kehidupan di negara asing, dia menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan turut memaklumkan kepada lelaki berkenaan bahawa ayahnya akan datang untuk membawanya pulang.

"Marah dengan apa yang saya katakan, teman lelaki merampas telefon bimbit saya dan terus membuangnya sehingga menyebabkan saya tiada pilihan lain kerana langsung tidak mengingati nombor telefon keluarga di kampung.

"Sebaik tiba di Pulau Flores, saya ditinggalkan teman lelaki. Buntu mengenangkan nasib, saya membawa diri di sekitar pulau berkenaan sehingga bertemu dengan suami saya sekarang di sebuah rumah sakit dan dialah yang banyak membantu saya untuk mencari semula keluarga di kampung," ujarnya.

Dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Munirah berjaya dibawa pulang dan ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini disambut dengan linangan air mata oleh anggota keluarganya.

Munirah yang melarikan diri selepas pulang dari sekolah pada April 2007 dilihat menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52, sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, sambil ditemani suami yang  baharu dikahwini setahun lepas, Yohanes Kaya Masan, 35, dan anak lelakinya, Alfon Bayu Rongan, sembilan bulan.

Ditemui pemberita kemudiannya, Munirah menyatakan rasa kesal dengan apa yang dilakukannya dan memohon maaf kerana menyusahkan ramai pihak sepanjang proses membawanya pulang ke kampung halamannya di Tanjung Dawai, Sungai Petani Kedah.

"Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru bersama suami dan anak serta bertekad tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya.

Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata proses membawa pulang remaja itu mengambil masa lebih sebulan dan beliau menasihati anak gadis di negara ini agar berfikir panjang sebelum lari mengikut teman lelaki ke Indonesia kerana mereka berdepan risiko dikenakan hukuman berat oleh pemerintah negara itu jika tersalah langkah.

"Ini adalah kes yang paling jauh kita selesaikan dan yang pertama seumpamanya di Daerah Nusa Tenggara Timur, Indonesia,

"Hasil rundingan dan kerjasama antara kedua belah pihak Munirah dibawa pulang secara baik walapun dia sepatutnya boleh dikenakan hukuman kerana menceroboh negara orang tanpa dokumen sah," katanya.


Sementara itu, Abdul Hamid yang bekerja sebagai nelayan berkata tiada apa yang dapat beliau ucapkan selain rasa syukur dan berterima kasih kepada KP1M serta Ketua Umno Bahagian Merbok Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain di atas segala susah payah untuk membantu keluarganya.

Abdul Hamid berkata kira-kira enam bulan lalu, beliau menerima surat bertarikh 8 Ogos 2012 yang dihantar anaknya, Munirah dari Flores Timur, Indonesia.

"Munirah menulis alamat bagaimanapun tidak memberikan butiran lengkap dirinya cuma menyatakan dia berada di Flores Timur dan meminta tolong dibawa pulang ke Malaysia.

"Selepas terima surat itu saya tidak tahu nak minta tolong dengan siapa. Alhamdulillah Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain sudi membantu yang kemudiannya merujuk perkara itu kepada KP1M', katanya.


Gambar Fail: Abdul Hamid Mat menunjukan sepucuk surat yang dihantar anaknya, Munirah yang kini berada di Flores Timur, Indonesia kepada Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Hj.Tajul urus Mat Zain yang mengunjungi beliau di rumahnya di Tanjung Dawai September tahun lalu.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga ianya menjadi pengajaran kepada semua gadis2 dan wanita2 Malaysia.