Aziz Bari, iaitu seorang ‘pakar perlembagaan mengikut
piawaian Pakatan Rakyat’, baru-baru ini dipetik oleh Harakahdaily sebagai
menegaskan bahawa kedudukan Melayu adalah selamat, berkat dari kebijaksanaan
UMNO-BN menggubal perlembagaan negara.
Oleh itu, menurutnya sekiranya PR menang dengan majoriti 2/3
iaitu 148 kerusi sekali pun, kedudukan Melayu di dalam perlembagaan tidak boleh
ditukar kerana majoriti yang dimenangi PR hanyalah di Dewan Rakyat tetapi di
Dewan Negara majoritinya masih senator lantikan UMNO/BN, selain terdapat
keperluan kepada perkenan Majlis Raja-raja untuk melakukan sebarang perubahan
dalam perlembagaan.
Atas dasar itulah maka kedudukan Melayu dikatakan selamat
walaupun PR memerintah.
Terdapat 70 orang senator di Malaysia. 26 dari mereka dipilih oleh Dewan Undangan
Negeri iaitu 2 dari setiap negeri dalam Persekutuan, manakala 44 lagi dilantik
oleh Yang DiPertuan Agong di mana empat darinya akan mewakili Wilayah-wilayah.
Pertamanya, apakah jaminan yang kesemua ahli Dewan Negara akan
membela Melayu? Keduanya, apakah jaminan
kesemua Melayu di Dewan Undangan Negeri akan mempertahankan hak-hak Melayu di
dalam perlembagaan jika sebahagian besar mereka adalah dari Pakatan Rakyat? Ketiganya, walaupun 44 senator dilantik oleh
Yang DiPertuan Agong, namun terdapat satu klausa yang menambah kenyataan bahawa
lantikan itu adalah ‘atas nasihat Perdana Menteri’.
Justeru, jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, apakah
jaminan yang beliau akan menasihatkan Yang DiPertuan Agong untuk mempertahankan
keududukan Melayu?
Perlu diingatkan, bahawa hanya baru-baru ini sahaja, iaitu
beberapa hari lepas, di dalam wawancara dengan Financial Times, Anwar sekali
lagi mengulang kenyataan bahawa ‘masalah paling utama di Malaysia ialah Hak-Hak
Melayu kerana ia membawa kepada masalah perkauman dan korupsi’.
Sudah tentulah kenyataan tersebut bersifat terlalu umum,
subjektif dan boleh diperdebatkan.
Namun, isu di sini bukan soal perkauman atau korupsi tetapi berkenaan
hak-hak Melayu.
Dari apa yang diperkatakan Anwar, jelaslah bahwa beliau
berniat untuk menghapuskan hak-hak Melayu sama sekali. Dengan DAP berada di belakangnya, atau lebih
tepat di atas Anwar, maka apakah jaminan yang perlembagaan yang ada mampu
dipertahankan?
DAP langsung tidak pernah berdolak dalih akan penentangan
mereka terhadap hak-hak Melayu di dalam perlembagaan. Umum sedia maklum bahawa kewujudan DAP adalah
atas dasar perjuangan menghapuskan hak-hak Melayu, termasuk Institusi
Raja-raja. DAP pastinya akan mempunyai
lebih kuasa dan cara untuk mencapai matlamat mereka sekiranya PR berada di
takhta.
Oleh itu, yang mungkin akan membela Melayu jika PR
benar-benar menang dalam pilihanraya kali ini, hanyalah PAS dan UMNO. Dengan UMNO sebagai pembangkang, maka suara
UMNO tentulah agak terhad apatah lagi dengan sikap PR yang gemar ‘menutup’
suara penentang-penentang mereka.
Lebih malang lagi, PAS juga telah dicerobohi oleh
orang-orang Anwar dan DAP sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi. Di tambah lagi dengan ‘kekaburan’ para pemimpin
Ulama di dalam parti itu yang meletakkan kebencian terhadap UMNO sebagai
matlamat utama sehingga menghina sebarang usaha untuk membela bangsa Melayu,
maka apakah jaminan yang mereka akan turut membela kedudukan Melayu di dalam
perlembagaan?
Dari situ, kita tidak faham bagaimana Aziz Bari boleh
menyatakan bahawa kedudukan Melayu akan lebih kuat jika PR memerintah sedangkan
di Pulau Pinang dan Selangor, kita melihat sendiri bagaimana Melayu dan Islam
diremehkan, malah diketepikan terus, apabila saja berpeluang. Pun begitu, walaupun tidak menguasai
Kelantan, namun DAP tetap mampu menguasai beribu ekar tanah Kelantan.
Justeru, di mana logiknya hujah Aziz Bari?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan