ALOR SETAR: Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti tiga
pemimpin pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan
bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
segala maklumat dan butir-butir mengenai dalang tersebut akan diserahkan kepada
Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
"Apa yang boleh saya katakan, dua daripada pemimpin
pembangkang itu daripada Semenanjung dan seorang lagi daripada Sabah.
"Maklumat kini sudah terkumpul dan semua butir-butir itu akan diserahkan
sepenuhnya di Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,"
katanya ketika sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja Menteri
Pertahanan di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas di sini, Jumaat.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemimpin
pembangkang tersebut. Beliau berkata pihaknya tidak mahu dianggap oleh
sesetengah pihak tertentu sebagai permainan politik maka segala tindakan akan
dilakukan sejurus selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Sesuatu tindakan perundangan hanya boleh dilakukan
apabila keterangan dirakamkan, direkodkan, kami dah ada semua itu. "Bila
akan diserahkan...tunggu selepas pilihan raya dan tindakan juga akan diambil
lepas pilihan raya, kita tidak mahu mereka kata kita bermain politik, jadi kita
serah kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengelakkan dicopkan sandiwara politik
Umno," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan