PUTRAJAYA 5 April - Pergolakan pakatan pembangkang dalam
menentukan pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) memang sudah dijangkakan kerana mereka tidak pernah bersatu, kata
bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Beliau berkata, jika pergolakan itu dijadikan sebagai asas
untuk menilai pakatan pembangkang, ia merupakan petanda buruk sekiranya mereka
diberi mandat untuk memerintah negara.
"Mereka akan berbalah sesama sendiri untuk memilih
siapa akan menjadi perdana menteri dan menteri-menteri penting yang lain.
Sekiranya kita nilai mereka atas asas ini, tidak akan wujud keamanan dalam
negara (jika mereka memerintah negara)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
menyampaikan ceramah Majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Kanan Kerajaan anjuran
Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) di sini hari ini.
Tunku Abdul Aziz yang juga bekas Naib Presiden Transparency
International berkata, selain itu pakatan pembangkang juga tidak mempunyai
sebarang pengalaman untuk mentadbir sebuah negara.
"Mentadbir sebuah negeri amat berbeza dengan mentadbir
sebuah negara. Ini sebuah negara yang amat kompleks. Anda perlukan kebijaksanaan,
pengalaman untuk memastikan setiap sektor populasi kita berasa gembira dan puas
hati.
"Dengan pakatan, saya fikir untuk dua atau tiga tahun
pertama, mereka akan buat seperti apa yang dibuat oleh Guan Eng (Ketua Menteri
Lim Guan Eng) di Pulau Pinang, menyalahkan kerajaan sebelumnya. Jadi kerajaan
jenis apa yang kita boleh jangkakan," katanya.
Dalam ceramahnya sebelum itu, Tunku Abdul Aziz menekankan
betapa pentingnya untuk tidak memperjudikan masa depan negara dengan memberi
undi kepada pihak yang salah.
Katanya, pakatan pembangkang sebenarnya tidak mempunyai
agenda selain kepentingan untuk diri sendiri.
Beliau turut meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan
janji-janji manis pembangkang terutama DAP, malah manifesto mereka juga adalah
tidak mungkin dapat dilaksanakan.
"Di Pulau Pinang, masa dia (DAP) dapat kuasa dia kata
nak tolong orang Melayu, orang India, nak bina rumah kos rendah tapi dah lima
tahun, sebuah rumah kos rendah pun dia tak bina," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan