Rabu, 16 Januari 2013

Isu Kalimah Allah: Anggota Majlis Syura Ugut Keluar Parti Jika Pas Tak Ubah Pendirian.

Keputusan Majlis Syura PAS yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu dipercayai diambil selepas beberapa anggota majlis itu memberi tekanan termasuk untuk keluar parti. Pada mesyuaratnya di ibu pejabat PAS, Ahad lalu, beberapa anggota Majlis Syura didakwa memberi kata dua kepada pucuk kepemimpinan jika terus membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.

Prof.Md Noor Deris, Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Pas Pusat.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan PAS Pusat, Prof Md Noor Deris, berkata beliau menerima maklumat dalaman bahawa Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat terpaksa menukar pendirian kerana desakan itu.

Md Noor yang juga Pengerusi Biro Agama dan Ulama, Majlis Ulama Veteran UMNO Kelantan berkata, tindakan Nik Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang sebelum ini membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama lain didorong nafsu untuk mendapat pangkat dan kemenangan pilihan raya.

Beliau berkata, tindakan itu jelas kepada masyarakat khususnya pengikut PAS untuk mengenali ciri-ciri was-was dalam perjuangan parti yang kini semakin terumbang ambing, sama ada mahu terus menurut kehendak DAP atau kembali ke pangkal jalan.

“Kedua-dua pemimpin ini lebih mengutamakan kehendak dan kepentingan DAP berbanding suara Majlis Syura, sekali gus menggambarkan mereka mengamalkan politik hipokrit yang bertopengkan Islam,” katanya.

Isu kalimah Allah ini dibangkitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam ucapannya sempena Krismas lalu yang menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk pihak Istana Selangor, namun pemimpin parti sekutu pembangkang termasuk Hadi, Mohamad Sabu dan Nik Aziz serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya.

Bagaimanapun, pendirian Nik Aziz berputar 360 darjah apabila bukan hanya tidak bersetuju dengan kenyataan Guan Eng, malah berkata, kalimah Allah hanya merujuk kepada Tuhan yang satu, dan tindakan menggunakannya bagi agama lain adalah mengarut. - BH

Selasa, 15 Januari 2013

Garis panduan Hiburan di tempat Awam: PAS Kedah VS DAP Pusingan Ke-3

Rakyat Malaysia sudah menerima perbalahan antara PAS dengan DAP sebagai satu ‘cara hidup’ iaitu akan tetap berlarutan selama-lamanya.  Satu ketika PAS akan mengalah, tetapi satu ketika lain akan membuat U-turn, tetapi tidak mustahil akan berbalah semula atas isu yang sama.  Semua ini bergantung kepada perkembangan politik semasa.  Pendek kata, perkahwinan PAS dengan DAP sentiasa dihiasi dengan dugaan dan cabaran tetapi akhirnya, PAS sebagai isteri tetap akan tunduk juga kepada kehendak suami yang chauvinis.

Dalam perbalahan mengenai isu dalam negeri-negeri jajahan PAS pula, PAS negeri seringkali terpaksa berhadapan dengan DAP Pusat secara bersendirian kerana PAS Pusat enggan menawarkan sokongan kepada PAS negeri, bagi mengelakkan masalah besar dalam perkahwinan mereka.

Dan inilah yang berlaku terhadap YAB Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah beberapa kali.  Sebelum ini, beliau telah terpaksa bertekak dengan DAP kerana isu melarang gambar wanita tidak bertudung dipaparkan di papan tanda negeri itu, kemudiannya isu menutup pusat hiburan di bulan Ramadhan dan kini isu garispanduan bagi aktiviti hiburan di tempat awam di Kedah.

Seperti juga isu-isu lain, PAS Pusat nampaknya langsung tidak cuba untuk membela Azizan dalam isu terkini ini.  Malah, kita tidak hairan jika PAS Pusat mengarahkan agar Azizan akur sahaja dengan kehendak DAP.  Ini kerana mengenali Azizan, beliau tidak akan semudah itu tunduk kepada DAP jika tidak kerana arahan dari kepimpinan PAS sendiri.

Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching menempelak garispanduan yang dikenakan Azizan sebagai tidak masuk akal, tidak boleh diterima dan tidak bijak.  Sementara exco Kedah, Tan Chow Kang dari PKR pula bertanya sinis sama ada Azizan inginkan kaum Cina di Kedah mendengar lagu-lagu komunis sahaja.

Garispanduan itu, yang dilaporkan oleh China Press and Nanyang Siang Pau mengharamkan wanita dewasa dari menyertai persembahan hiburan untuk orang awam.  Selain itu, garispanduan tersebut juga mengharamkan persembahan muzik langsung, dan hanya boleh diadakan dengan menggunakan rakaman awal (minus one).  Persembahan pula hanya dibenarkan untuk lagu-lagu berunsur agama dengan semua yang terlibat berpakaian sopan.

Kelab Penyokong PAS juga tidak ketinggalan mengkritik Azizan dalam hal ini dan menganggap ia sebagai satu tindakan yang tidak peka dan tidak toleran terhadap agama dan budaya lain, serta ‘pentingkan diri sendiri’.

Apa yang menyakitkan lagi hati DAP ialah garispanduan ini dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.  Dengan garispanduan ini, tentunya perayaan Tahun Baru Cina di Kedah akan menjadi muram dan hambar.

Tindakan kerajaan negeri Kedah ini memperlihatkan kekeliruan, kalaupun tidak hipokrasi yang kronik di dalam PAS.  Bukan kita tidak tahu bahawa dalam isu hiburan, PAS Kedah hanya berada beberapa langkah saja di belakang Selangor dalam perlumbaan membuka pusat-pusat hiburan baru.  Pusat Karaoke tumbuh tanpa kawalan, bagai cendawan sejak PAS memerintah Kedah, sehinggakan ada yang bersebelahan sahaja dengan surau atau masjid.   Rungutan mengenai moral anak-anak muda Kedah yang semakin buruk bagai sudah menjadi satu fenomena di kalangan ‘orang-orang lama’ Kedah, terutama di bandar Alor Setar.

Seperti yang kita sedia maklum, pusat-pusat hiburan yang menawarkan hiburan secara tertutup beroperasi secara berterusan sementara hiburan berbentuk persembahan di tempat awam dan di atas pentas pula, adalah bersifat sekali-sekala.  Berdasarkan faktor inilah maka garispanduan yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah itu dilihat sebagai usaha untuk menunjuk-nunjuk alim dan bukannya usaha ikhlas untuk memelihara nilai-nilai moral rakyat Kedah.

Tidak mustahil, usaha menunjuk-nunjuk alim ini adalah respon kepada hujan kritikan yang tidak henti-henti menimpa Azizan kerana gagal melaksanakan pentadbiran Islam sebenar mengikut kacamata PAS.

Azizan tidak ada pilihan selain terpaksa menghadapi seluruh parti DAP dan masyarakat Cina Kedah sekali lagi, secara berseorangan.  Jika beliau boleh mengelak dari isu balak dengan hanya bersikap angkuh atau mengelak dari isu-isu yang timbul di dalam Laporan Audit dengan mengambil sikap tak tahu, nampaknya, beliau tidak mungkin dapat mengelak isu ini dengan hanya berdiam diri.

Ini kerana, apabila ia melibatkan kepentingan DAP secara langsung, maka PAS Pusat akan memastikan Azizan tidak senang duduk selagi tidak menanganinya dengan baik tanpa menyinggung DAP.

Hakikatnya, sehingga kini, masyarakat Cina masih keliru mengenai siapa dan apakah PAS sebenarnya dan kekeliruan itu membuatkan mereka semakin ragu-ragu untuk memberi undi kepada DAP.  Apakah benar PAS sudah terbuka?  Atau PAS hanya menyembunyikan ektremismenya untuk sementara?  Apakah DAP mampu mengekang pemikiran jumud dan ekstrem PAS mengenai agama?  Sampai bila DAP mampu mengawal PAS?   Dan apakah jaminan yang PAS tidak akan bangkit dengan lebih bersemangat sehingga mengatasi kelicikan DAP jika PR menang PRU kali ini?

Soalan yang sama juga mungkin perlu ditanya oleh Azizan kepada dirinya sendiri dan juga kepada kepimpinan PAS.  Ketahuilah oleh PAS bahawa rakyat keseluruhan juga turut menantikan jawapannya.

Pakatan Pembangkang Hanyalah Golongan Penipu.

Lebih kurang dua tahun kebelakangan ini sudah banyak perhimpunan dan demonstrasi jalanan serta pelbagai gimik politik diusahakan oleh pakatan pembangkang disegenap pelusuk negara termasuklah sebahagiannya tertumpu di ibukota Kuala Lumpur.

Terbaru mereka mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) #KL112 atau lebih diingati ramai sebagai Himpunan Menyokong Gadaikan Kalimah Allah Kepada Kristian yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013 melibatkan gabungan 4 kumpulan propaganda utama PR.

Empat kumpulan ini terdiri daripada NGO Bersih berwarna kuning fokus pada propaganda anti SPR, kumpulan Hijau tertumpu pada bantahan terhadap kilang nadir bumi Lynas dan Rapid Pengerang, manakala kumpulan Oren pula berusaha untuk memburukkan FELDA serta kumpulan merah, NGO Royalti dari Kelantan.

Atas kepercayaan angka 4 dikalangan masyarakat Cina bermaksud “si” yakni bermaksud “mati” dan dianggap suwey serta membawa sial, maka PR sebagai pihak penganjur membawa masuk satu lagi kumpulan sampingan berwarna ungu yang terdiri daripada muslimat dan wanita PKR.



Dengan gabungan 4 kumpulan propaganda utama ini pihak penganjur optimis tanpa mengira logik akal telah dengan selamba mempromosikan kononnya sejuta (1,000,000) orang peserta yang terdiri daripada penyokong mereka dari seluruh negara akan hadir memenuhkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Awal-awal promosi lagi sudah menipu semacamlah rakyat tidak tahu yang Stadium Merdeka cuma mampu menampung 30,000 orang hadirin sahaja. Hatta jika dipenuhkan sekali dengan kawasan padang bola dan laluan pejalan kaki cuma 40,000 orang sahaja yang boleh berhimpit-himpit dalam stadium tersebut.

Mana lagi nak disumbat kai lebih 900 ribu? Kot ya pun mahu bikin gempak gunalah logik akal sikit. Ini tidak, dari awal lagi sudah menipu rakyat. Macam mana rakyat nak meyakini PR jika begitu gayanya, belum memerintah sudah menunjukkan belang penipuan?

Paling malang sekali, kesemua 4 kumpulan propaganda utama warna warni ini masing-masing mempunyai rekod pernah cuba memperbodohkan khalayak serta berniat menipu rakyat dengan pelbagai gimik dan tingkahlaku yang menjelekkan.

NGO proksi PR, Bersih 2.0 misalnya pernah terlibat dalam adegan memalukan apabila sengaja mencipta trick propaganda apabila seorang pesertanya bernama Suhardi Mat Isa yang merupakan penyokong PAS telah dengan melakonkan aksi dua tiga kali mati dan hidup semula semasa demonstrasi jalanan Bersih 2.0 pada Julai 2011.


Sementara itu ketika demontrasi Bersih 3.0 dilangsungkan pada April 2012 pula para pesertanya berkelakuan liar dengan memusnahkan kenderaan peronda polis dan menendang motosikal anggota polis trafik.

Mereka juga telah melanggar perintah Mahkamah dengan sengaja merempuh ke arah Dataran Merdeka bertujuan untuk menawannya, bila pihak berkuasa bertindak balas untuk menguatkuasakan undang-undang demi ketenteraman awan, para perusuh ini telah memutarbelitkan cerita untuk mengabui mata rakyat dengan menyalahkan pihak polis pula.

Manakala kumpulan Hijau pro DAP dan PKR yang kononnya aktivis alam sekitar pula telah dengan sengaja memesongkan fakta mengenai kilang pemprosesan bahan nadir bumi Lynas kononnya membahayakan keselamatan rakyat, walhal fakta saintifik membuktikan sebaliknya.

Lebih menyakitkan hati bila mana kumpulan yang sama melancarkan gimik mogok lapar selama 100 jam sebagai bantahan terhadap Lynas dan Rapid Pengerang. Baru sehari dua berlangsung akhirnya kantoi apabila ramai pesertanya dilihat secara senyap-senyap menjamu selera di resoran dan hotel.


Tidak cukup dengan gimik dan penipuan di atas, kumpulan Oren yang anti FELDA di ketuai AJK PAS Pusat juga terlibat secara langsung menipu para peneroka FELDA kononnya tanah dan rumah peneroka akan tergadai bila FGVH menyertai pasan saham BSKL.

Realitinya tiada tanah milik peneroka yang dipajak atau berisiko tergadai sebaliknya yang betul-betul tergadai ialah maruah rakyat Kelantan dan berpuluh ribu ekar tanah serta hasil bumi di selatan negeri itu telah jatuh ke tangan orang luar.



Dalam salah satu demonstrasi Oren bulan lepas pula, pesertanya telah dengan sengaja menyalibkan patung menyerupai Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, mirip seperti Tuhan triniti kristian, Jesus yang mati disalib. Satu penghinaan terhadap sesama Islam dan lebih memalukan kejadian menyalib itu dilakukan selepas selesai mereka menunaikan solat Jumaat. Memalukan.

Kumpulan terakhir yang bertemakan warna merah, NGO Royalti tajaan pemimpin PAS pula telah dengan sengaja memutarbelitkan fakta carigali minyak di luar persisiran pantai negeri itu. Sedangkan fakta sebenar hanya minyak yang dijumpai dalam lingkungan 3 batu nautika dari pantai Kelantan sahaja yang layak menerima royalti minyak.

Jika lebih dari lingkungan tersebut, Kerajaan Pusat atas budi bicara berpandukan perjanjian yang ditandatangani boleh mengusulkan perbincangan seterusnya mempertimbangkan bayaran wang ehsan terus kepada rakyat melalui agensi-angensi Kerajaan Pusat untuk .

Apa yang terjadi, wang ehsan ditolak oleh Kerajaan PAS Kelantan dan NGO Royalti sebaliknya mereka menuntut wang tersebut dimasukkan terus ke kantung Kerajaan Negeri, yang sebenarnya terselit motif untuk diambil kesempatan buat mengenyangkan perut sesetengah pimpinan negeri

Walhal majoriti rakyat Kelantan ternyata selesa dengan pemberian wang ehsan yang memberi manfaat kepada mereka berbanding jika wang itu diberikan kepada Kerajaan PAS Kelantan akibatnya banyak berlaku ketirisan sebagaimana berlaku dalam kes royalti kayu balak, perlombongan emas, pasir dan bijih besi.

Satu perkara yang agak mengelirukan, NGO Royalti ini tanpa sedar telah menuntut supaya diwujudkan kompleks pendaratan dan penapisan petrokimia di Pantai Sabak, Bachok. Percanggahan ketara bila mana kumpulan Hijau yang bergabung bersama mereka dalam HKR pula menentang pembinaan kilang pendaratan dan penapisan petrokimia Rapid di Pengerang, Johor.

Tampak jelas, terang lagikan bersuluh, segalanya menunjukkan penganjuran HKR sebetulnya hanyalah satu propaganda politik yang motif utama mereka hanyalah mahu menarik perhatian rakyat khususnya para pengundi sempena PRU 13 nanti.

Mereka cuba mengelirukan rakyat melalui pelbagai gimik, penipuan dan pemesongan fakta termasuklah melakukan aksi liar dan kontroversi tanpa mempedulikan hakikat yang rakyat sebenarnya lebih celik akal dan mindanya.

Golongan penipu dan penyebar propaganda politik ini semua sepatutnya sedar, tingkah laku dan watak pembawaan mereka tidak sedikit pun mampu mmmembantu PR untuk menghadapi PRU 13. Tiba masanya kelak, rakyat sebagai hakim negara pastinya beramai-ramai menunaikan hak mereka dalam pilihanraya dan mengundi menolak gabungan parti politik yang tidak beretika ini.

Agenda DAP Untuk Kristiankan Malaysia Hampir Berjaya Dengan Bantuan Pas.


Apabila DAP bertekak menegaskan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular, agenda sebenar mereka terserlah iaitu menghapuskan klausa Islam sebagai agama rasmi negara di dalam perlembagaan.  Ini bermakna, keutamaan yang diberikan kepada agama Islam dari segi dakwah, penyebaran serta infrastruktur dan pembangunan akan turut terhapus.

Secara automatik, agama-agama lain akan mendapat hak sama rata dengan Islam dan gejala murtad tidak lagi dapat dikekang.

Masih ramai di kalangan umat Melayu yang mudah terpedaya dengan momokan bahawa ini semua hanyalah propaganda UMNO.

Kebanyakan mereka sukar menerima soal ‘agama’ menjadi agenda utama DAP kerana setakat yang mereka tahu, kaum Cina tidak begitu ekstrem dalam beragama.  Malah, ramai di antara mereka tidak mengamalkan pun ajaran agama mereka, seperti bersembahyang.    Selain itu, masyarakat Malaysia juga masih lagi cenderung mengaitkan kaum Cina dengan agama Buddha sepertimana India dengan Hindu.

Justeru, ramai yang merasa ragu mengenai kaitan DAP dengan gejala murtad yang didalangi Kristian.

Hakikatnya,  kaum Cina dan juga India yang memilih Kristian sebagai pegangan semakin meningkat di Malaysia.  Apa jua alasannya, iaitu sama ada mereka memilih Kristian kerana benar-benar percaya dengan ajarannya, atau sekadar satu ‘escapism’ dari masalah kasta sepertimana prasangka ramai,  ataupun sebagai satu simbol ‘status’ kerana masih terbelenggu dengan pemikiran mendewakan apa saja yang dibuat oleh orang-orang barat serta ingin turut menyambut Krismas, melalui upacara perkahwinan cara barat dan mempunyai nama barat yang dilihat sebagai glamour akibat terpengaruh oleh TV dan filem, adalah tidak penting untuk dipastikan.

Tidak seperti Islam yang tidak membezakan kaum dan meletakkan semua umat Islam sebagai sama dan bersaudara, Kristian pula menyaksikan gereja yang berbeza bagi kaum Cina dan India seperti juga kaum kulit hitam dan kulit putih di barat yang merasa janggal untuk ke gereja yang sama.

Bagaimanapun, kaum Cina jarang mengumumkan agama mereka tetapi ramai yang menyangka bahawa kaum Cina yang memakai nama barat kemungkinan besarnya beragama Kristian.   Memandangkan pemimpin tertinggi DAP tidak memakai nama barat, maka keraguan masyarakat mengenai penglibatan mereka dalam kes murtad mudah difahami.

Mungkin kerana itulah maka para penulis blog berbangsa Cina gemar mendesak pemimpin atasan DAP agar mengumumkan agama mereka.   Apa yang diisyaratkan oleh para blogger ini ialah, pemimpin atasan DAP berselindung di sebalik nama Cina walaupun mereka sebenarnya Kristian demi memastikan sokongan berterusan dari kaum Cina ‘ortodoks’ iaitu yang berpegang teguh kepada budaya, bahasa dan agama asal nenek moyang mereka.   Dengan tidak memakai nama barat juga memudahkan mereka untuk mengaburi rakyat mengenai agenda Kristian yang diperjuangkan mereka.

Agenda Kristian DAP, seperti yang telah terdedah, berpusat di Subang Jaya.   Kumpulan ‘pendakwah’ atau penipu ini beroperasi dengan cara menghulurkan bantuan sebelum mengumpan sasaran mereka untuk ke gereja.  Antara yang telah menjadi mangsa dimurtadkan, mendedahkan bagaimana mereka ‘dipegang’ sehingga merasa terhutang budi dan wajib membayar budi para pendakwah itu dengan memeluk Kristian.

Puak Kristian ini beroperasi secara tersusun dengan dana disalurkan dari sebuah pusat pentadbiran yang lengkap.   Dengan memanggil diri mereka ‘Evangelist’ atau pendakwah, menunjukkan yang mereka bermazhab Protestant iaitu mazhab yang paling banyak melalui reformasi dan mempunyai berbagai-bagai versi serta mengambil sikap berbeza dengan mazhab katholik yang mengiktiraf darjat tertinggi Pope, atau mazhab orthodox yang lebih dekat dengan Kristian asal iaitu agama Nasrani.

Salah satu laporan dari laman AsiaOne Singapura bertarikh 27 Jun 2012 mendedahkan beberapa transaksi kewangan yang meragukan yang melibatkan gereja di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Kebajikan negara tersebut:

1.       ‘Derma’ berjumlah S$2.1 juta bagi “Projek Menyeberang” (Crossover) atau lebih tepat memurtadkan – dipindahkan dari Amerika Syarikat ke Gereja City Harvest di Subang Jaya, dalam jangka masa Diseember 2007 – May 2010.

2.       ‘Derma’ ini kemudiannya dipindahkan ke ‘akaun pelbagai’ juga untuk ‘Projek Menyeberang’ ini.  Dalam bulan April 2007 – Mac 2010 sejumlah lebih kurang S$600,00 dan USD3 juta masing-masing digunakan untuk perbelanjaan En. Kong Hee dan isterinya Ho Yeow Sun yang mana kebanyakan ahli gereja tidak tahu menahu mengenainya.

3.      ‘Derma’ untuk dana pembinaan gereja berjumlah S$600,000 dipindahkan ke akaun pelbagai untuk projek yang sama.

DAP telah terbukti merupakan antara anggota penting yang memberikan naungan kepada puak evangelists ini yang berpusat di Subang Jaya.

Pemimpin DAP, antaranya, Hannah Yeoh didedahkan telah menyumbang dana dari DUNnya kepada beberapa pertubuhan Kristian antaranya RM3,000 – Kingdom Christian Fellowship Bhd pada 13 Oct 2011, RM2,500 – Subang Jaya Assembly of God pada 12 May 2011, RM5,000 – Evangelical Free Church Gospel Centre pada 17 Jan 2012 dan RM5,000 – Pusat Subang Jaya Pastors Fellowship pada 2010.

Apabila kes murtad pertama kali menjadi heboh, Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa antara yang paling lantang menyuarakan kebimbangan dengan kegiatan gereja di Subang Jaya.   Pemimpin-pemimpin DAP termasuk di peringkat atasan pantas turun membela dan memberi sokongan kepada gereja hampir dalam kadar segera.

Tidak lama kemudian, kita menyaksikan bagaimana Hasan Ali dipecat dari PAS dan ‘bintang’ Nasharuddin juga merudum.

Pendedahan lanjut dibuat oleh beberapa blog mengenai ikrar yang dibuat oleh DAP di dalam sebuah majlis yang menampilkan tokoh-tokoh Kristian di rantau ini, untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.   Ikrar tersebut dilihat konsisten dengan desakan Lim Guan Eng dalam perutusan Krismasnya untuk meneruskan perjuangan menggunakan kalimah Allah dalam kitab Kristian.

Jelas, bahawa agenda Kristianisasi dengan isu Injil berbahasa Malaysia serta penggunaan kalimah Allah di dalam risalah dan kitab agama Kristian, kes murtad, hubungan pemimpin DAP dengan gereja serta perutusan Krismas Guan Eng adalah isu yang berkait dan berangkai.

Ini bermakna, ia bukan satu paranoia umat Islam UMNO yang tidak berasas tetapi sahih sehinggakan para blogger bukan Islam dan bukan Kristian juga turut menghidunya.    Yang tidak berasas dalam isu ini hanyalah tindakan umat Islam di dalam PAS menyokong, membela dan berdegil untuk terus bekerjasama dengan puak evangelists, bergandingan tangan menuju ke Putrajaya dan duduk bersebelahan di singgahsana.

Atas bantuan PAS inilah maka agenda Kristianisasi DAP nampaknya hampir berjaya

Perhimpunan berniat jatuhkan kerajaan.


 Perhimpunan di Stadium Merdeka Sabtu lepas cuba meniru apa yang berlaku di sesetengah negara Arab dengan niat menjatuhkan kerajaan sedia ada, kerana penganjur merasakan ia tidak boleh menang pilihan raya umum nanti, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jadi mereka berharap dengan meniru, dapat menjatuhkan kerajaan, sedangkan kerajaan negara ini bukan seperti di negara Arab, bukan kerajaan kuku besi, ia adalah kerajaan yang dipilih rakyat.
"Apa yang mereka tiru itu bukan cara demokrasi...jika nak adakan perhimpunan atau demonstrasi perlulah ada alasan, tetapi bukanlah demonstrasi mengenai Shamsidar (Taharin). Jadi seolah-olah bila ada sahaja kes mahkamah, kena adakan demonstrasi," katanya.
Shamsidar ialah isteri timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang akan menjadi saksi kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap anggota Dewan Negara Datuk S.Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd.
Tun Dr Mahathir berkata, perhimpunan anjuran parti pembangkang itu mewujudkan keadaan serba salah kepada pihak berkuasa yang menjaga ketenteraman awam.
"Bila pihak berkuasa ambil tindakan akan dituduh bertindak kasar jika tidak mengambil sebarang tindakan juga tetap diperkatakan," katanya.
- BERNAMA

Isnin, 14 Januari 2013

Kalimah Allah Hanya Untuk Umat Islam: Majlis Syura Pas

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah ini.
"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehedak sebenar," kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam Ahad.
Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru tindakan tersebut perlulah ditegah.
"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya.
"Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut.
"Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, Nik Aziz dan Haron Din sepakat menegaskan kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam menyebutnya.
"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.
Mesyuarat Majlis Syura PAS yang bersidang pada malam Ahad, diadakan khas bagi membincangkan mengenai isu kalimah Allah pada malam Ahad bermula pada pukul 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Pemimpin PAS dan ahli Majlis Syura yang hadir bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan sebaliknya hanya kenyataan media sahaja diedarkan kepada kira-kira 20 wartawan yang menunggu.
Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh disalah guna untuk kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam.
Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.
Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.
Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.
Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi PAS sendiri termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Haron Din, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyatakan pendirian tegas mereka, tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut bukan Islam.

Rabu, 9 Januari 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari – Kemuncak ‘Khidmat’ PR Kepada Rakyat

Ketika Barisan Nasional menggarapkan perlaksanaan Pelan Transformasi dalam usaha memastikan negara kekal berada dalam keadaan teguh dan rakyat sentiasa di dalam kesejahteraan, pembangkang pula meneruskan usaha menghuru-harakan negara, menghasut dan mengganggu fokus kerajaan BN.

Saban hari ada saja perancangan yang dilakukan pembangkang untuk mencari publisiti murahan.  Himpunan dan demonstrasi diadakan seboleh-bolehnya setiap bulan atau beberapa kali sebulan yang mana menunjukkan yang pemimpin pembangkang benar-benar tiada kerja lain selain berpolitik siang dan malam.  Himpunan dan demonstrasi tersebut pula diadakan di atas berbagai-bagai alasan dengan menggunakan berbagai-bagai penyamaran antaranya, Himpunan Hijau dan Himpunan Oren.   Bagaimanapun, himpunan yang menjadi tonggak penting kepada Pakatan Rakyat diberi nama  Himpunan Kebangkitan Rakyat.
Himpunan ini diadakan secara bersiri, bermula dari  3 November tahun lalu di Seremban dan menjelajah ke negeri-negeri lain hingga yang terakhir di Perlis pada 17 Disember lalu.   Kemuncaknya adalah pada 12 Januari 2013 depan, jam 2 – 5 petang, iaitu penutup kepada siri himpunan ini yang dicadang diadakan di Stadium Merdeka dengan mensasarkan rakyat sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Nampaknya, politik pembangkang ini benar-benar jenis politik hampas iaitu berhimpun ke sana ke mari, bercakap tak henti-henti tanpa membawa hasil apa-apa selain dari menyemarakkan kebencian, semangat perkauman dan perpecahan di kalangan masyarakat.  Ia juga mengganggu rutin harian orang ramai dengan menghalang lalulintas, selain memberi gambaran negatif sekali gus membawa risiko buruk kepada ekonomi negara.
Maka tidak hairanlah apabila sokongan terhadap pembangkang semakin hari semakin berkurangan kerana rakyat di kawasan dan negeri yang diwakili mereka merasa tidak puas hati dan sangsi apabila kawasan sendiri tidak terjaga.
Walaupun kewujudan pihak pembangkang dalam sesebuah negara demokrasi sepatutnya membawa kebaikan kepada rakyat, tetapi pembangkang Malaysia nampaknya hanya membawa kemusnahan.  Malah mereka langsung tidak berguna, sepanjang masa menyemak dan menghabiskan wang negara semata-mata.  Tidak cukup dengan gaji dan elaun buta, beberapa wakil rakyat mereka juga menjadi kaya secara tiba-tiba sejurus selepas menang pilihanraya iaitu dalam masa beberapa bulan sahaja.
Lebih buruk lagi apabila mereka juga meminta derma dari rakyat untuk membiayai politik gila mereka sedangkan mereka terbukti menerima dana asing melalui berbagai-bagai NGO yang bekerja untuk mereka.
Adalah difahamkan bahawa Himpunan 12 Januari ini adalah bertitik tolak dari kegagalan BERSIH sebelum ini.  Memandangkan nama BERSIH telah pun kotor dan memalukan, maka pembangkang memilih nama lain untuk meneruskan agenda mereka untuk menghuru-harakan negara.
Walaupun mereka menyatakan akan mengadakannya di dalam stadium namun kita tidak harus mengenepikan kemungkinan mereka menggunakan Modus Operandi yang sama dengan semua himpunan sebelum ini iaitu berarak dari jalanraya ke stadium dan bukannya terus berhimpun di dalam stadium.
Kita sedia maklum bahawa bagi mendapatkan impak  yang diinginkan, pembangkang perlu mencipta drama, dan drama tidak akan tercipta jika hanya berhimpun dan berucap di stadium kerana itu adalah terlalu biasa, malah menjadi rutin hidup mereka yang tidak membawa faedah kepada sesiapa.
Justeru, tidak mustahil pembangkang akan mengadakan drama seram ganas sama sepertimana yang berlaku dalam BERSIH 3.0.  Bagaimanapun, ini hanyalah cadangan atau perancangan pemimpin PR.
Dari perkembangan semasa, nampaknya cadangan dan perancangan ini agak sukar direalisasikan.    Ini kerana terdapat berbagai masalah dalaman yang melanda setiap satu dari parti-parti sekutu PR yang berpunca dari isu-isu semasa yang berbangkit dari tindakan dan kenyataan pemimpin-pemimipin PR sendiri.  Akibatnya, kelihatan semangat untuk berhimpun kali ini begitu hambar sekali di kalangan penyokong ketiga-tiga parti.
Hari ini, laungan BN zalim, UMNO rasis, kerajaan tidak telus, mahkamah tidak adil sudah tidak laku lagi.  Segala puji-pujian ke hadhrat Allah SWT yang memenangkan PR di beberapa negeri dalam PRU yang lalu yang telah membolehkan rakyat melihat siapa sebenarnya yang zalim, rasis, tidak telus dan tidak adil selama ini.
Setelah menang maka terbarailah sudah bahawa PAS yang memecahbelahkan ummah dan enggan bertanggungjawab pula ke atas tindakan penyokong mereka yang mengkafirkan sanak saudara, malah ibu bapa sendiri.  Terserlah sudah bahawa DAPlah yang rasis sehingga tidak sanggup meletakkan Melayu bagi mewakili orang Melayu di dalam partinya.  DAP juga tidak telus, korup dan bodoh kerana tidak mampu mengira undi yang beberapa ribu sahaja.   PKR pula tidak perlulah diceritakan lagi kerana parti itu sudah lama telanjang bulat  menampakkan segala panau, kurap dan cacat celanya,  sepertimana Anwar di dalam video dengan China-dollnya.
Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah tidak lebih dari kemuncak usaha PR untuk menghancurkan Malaysia.   Oleh itu, rakyat Malaysia wajar menjauhkan diri dari terlibat dengan Himpunan ini, demi kejahteraan negara dan juga keselamatan diri sendiri.   Belajarlah dari kesilapan negara-negara yang telah melalui ‘kebangkitan’ seperti ini, di mana kini setelah berjaya menggulingkan kepimpinan lama atas alasan tiada kebebasan bersuara, mereka kini ada yang disumbat ke penjara hanya kerana mengkritik kepimpinan baru.   Sudah elok hidup di selesa, kenapa ingin merasai sengsara?

Sabtu, 5 Januari 2013

Kata-Kata Ayahanda Tun Dr Mahathir yang Patut Semua Ahli UMNO baca!


KATA-KATA TERAKHIR TUN DR MAHATHIR MOHAMAD sebelum meninggalkan kerusi PRESIDEN UMNO ketika PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 54.


"Sesungguhnya musuh UMNO tidak kuat. Mereka tidak mungkin mengalahkan UMNO. Tetapi UMNO boleh mengalahkan UMNO. Saya tidak perlu hurai perkara ini. Kita semua tahu. Parti lawan tidak menang. Hanya UMNO yang kalah.

Sesungguhnya UMNO tidak mungkin kalah jika kesetiaan kita kepada parti, pada bangsa dan agama tidak dilunturkan kerana kepentingan diri. Tidak ada parti politik di mana-mana yang lebih berjaya memulihkan maruah sesuatu bangsa, seperti UMNO. Daripada bangsa yang dijajah dan dihina, bangsa Melayu sekarang dianggap sebagai bangsa yang begitu berjaya sehingga menjadi contoh kepada ramai bangsa-bangsa lain di dunia. Jasa UMNO kepada orang Melayu, Bumiputera lain, bangsa Malaysia dan negara Malaysia amatlah jelas dan besar. Janganlah kekecewaan kita menghancur semula maruah bangsa kita

Jika boleh saya ulangi, perjuangan kita, UMNO dan orang Melayu dan Bumiputera lain belum selesai. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh kita. Hanya untuk mengekalkan kemerdekaan kita, kebebasan kita, memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Apatah lagi jika kita ingin memulih maruah bangsa dengan sepenuhnya dengan menjadi bangsa yang maju dalam sebuah negara maju.

UMNO, saya ulangi bukan sebarang parti. UMNO adalah teras dan tunjang kepada parti yang memerintah negara tercinta ini. Kuat UMNO kuatlah Barisan Nasional, kuatlah Kerajaan Malaysia, kuatlah Malaysia. Lemah UMNO akan mengundang malapetaka kepada kita semua.

Ini adalah kali terakhir yang dapat saya sampaikan ucapan perasmian dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya pohon maaf jika saya mengambil masa yang panjang untuk menyampaikan ucapan ini. Saya hanya ingin menyumbang kepada parti yang telah memberi peluang yang banyak bagi saya merealisasikan segala idea yang ada pada saya bagi pemulihan maruah bangsa saya, memajukan sedikit bangsa saya dan negara saya.

Sama ada saya berjaya atau tidak bukan untuk saya menilaikannya. Rakyat dan sejarah yang akan menghukum dan menilai baik atau buruk khidmat yang telah saya berikan.

Saya amat menghargai sokongan UMNO, orang Melayu dan Bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain dan saya bersyukur dan berterima kasih kerananya. Saya juga pohon ampun dan maaf terhadap segala kesilapan dan kesalahan saya sepanjang saya berkhidmat dalam parti yang bertuah ini.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang telah memberkati hamba-Nya yang kerdil ini. Saya berdoa kepada-Nya supaya memelihara bangsa hamba-Nya ini daripada sifat-sifat yang keji dan menjadikan mereka bangsa yang mulia dan berjaya, yang mematuhi segala ajaran agama suci Engkau, ajaran yang menyuruh berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan bangsa ini untuk dijadikan contoh sebagai umat Islam yang tunduk kepada segala perintah Engkau Ya Allah. Amin

Dengan doa ini, saya dengan hati yang berat tetapi gembira, merasmikan Perhimpunan Agung UMNO yang ke 54 ini"


Sumber : Pejabat Perdana Menteri

Video ahli Pas mengamuk tak puas hati.

Hadi Awang tidak boleh nafi perpecahan sesama Islam – bekas penyokong tegar Pas.


PASIR PUTEH 4 Jan. - Seorang bekas penyokong tegar Pas, Manaf Yusof, 78, meminta Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menebus dosanya dengan menarik balik amanat beliau tanpa bersyarat kerana menyebabkan segelintir umat Islam di negara ini terputus persaudaraan.
Dia tidak menafikan perpecahan sesama Islam di Kelantan berputik selepas timbulnya Amanat Haji Hadi pada 1981 yang mana penyokong tegar Pas sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengkafirkan ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang tidak sehaluan kerana menganggap perjuangan mereka diredai Allah.
"Tidak perlu tampil di kaca televisyen, memadailah dengan beliau memberikan penerangan dan penjelasan semula kepada seluruh pengikut Pas menerusi siri ceramah politik yang dianjurkan.
"Jelaskan kenapakah UMNO halal dikafirkan pada 1981? Jelaskan juga kenapa Pas yang bersekutu dengan DAP sejak kebelakangan ini sama ada hukumnya halal dikafirkan atau sebaliknya.

'Saya disuruh ceraikan isteri'


DUNGUN 4 Jan. - Che Rokeman Musa, 39, menempuh saat paling mencabar kesabarannya apabila berulang kali didesak oleh mentuanya supaya menceraikan isterinya setelah dia meninggalkan Pas untuk menyertai UMNO pada 2008.
Bapa kepada tujuh orang anak itu yang menetap di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut di sini, menceritakan jika tidak kerana salah seorang anak kecilnya yang manja sentiasa menyejukkan hatinya dia tidak tahu bagaimana keadaan keluarga kini.
"Isteri saya menangis setiap kali mendengar gesaan keluarganya. Dia dalam keadaan tersepit apatah lagi hubungan kami mesra biarpun saya tidak boleh berikan kemewahan kepadanya. Mentua melihat saya tidak lagi layak menjadi suami kepada anaknya kesan gejala mengkafirkan UMNO.
"Syukurlah keluarga kami bertahan dan kekal bersama anak-anak," ujar Che Rokeman yang bertugas sebagai operator jentera berat kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130105/po_01/Saya-disuruh-ceraikan-isteri#ixzz2H3Rg7hkW

 © Utusan Melayu (M) Bhd


Apa niat sebenar Hadi!.


- Oleh DATUK Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah.
Saya tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendesak diberi ruang selama satu jam bersiaran secara langsung untuk memberikan penjelasan mengenai isu Amanat Haji Hadi yang mencetuskan kontroversi berikutan pendedahan pengikut taksub dan ahli seumur hidup Pas, CN Al-Afghani melalui bukunya Kafirkah Aku!.
Desakan Abdul Hadi turut disokong oleh Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyandarkan hujahnya kepada hukum Islam yang mewajibkan semua pihak diberi hak bersuara dan membela diri.
Saya tidak menafikan syariat Islam mewajibkan mana-mana pihak diberi hak membela diri dan bersuara dalam mana-mana isu yang membabitkan dirinya. Malah hak asasi kemanusiaan juga menuntut seseorang diberi hak membela diri dan hak bersuara.
Apa yang saya pertikaikan ialah amalan politik dua alam, cakap tak serupa bikin dan demokrasi hipokrit amalan pembangkang.
Contohnya, mengapa semasa Pas membat keputusan memecat Datuk Dr. Hasan Ali, beliau langsung tidak diberi hak membela diri dan hak bersuara.
Malah, Hasan Ali langsung tidak diberi notis tunjuk sebab atau alasan tindakan memecat akan diambil terhadap beliau. Sehingga hari ini Hasan Ali tidak tahu apa sebab beliau dipecat!
Mana suara Nik Aziz atau Abdul Hadi semasa itu. Bukan sahaja mereka tidak memberi hak bersuara itu kepada Hasan Ali, malah mereka turut bersekongkol dalam tindakan memecat Hasan Ali tanpa diberi sebab, tak diberi hak bela diri, tak diberi hak bersuara, malah tak diberi notis!
Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, dengan segera segala ayat al-Quran dan hadis serta hukum Islam dicedok dan digali untuk melapik tuntutan serta desakan mereka!
Ini pada saya adalah amalan politik jijik dan kotor kerana mempergunakan syariat Islam hanya untuk kepentingan politik peribadi!
Kedua, Abdul Hadi perlu ingat, beliau ada ruang di Harakah dan media-media portal pembangkang yang lain untuk memberi penjelasan. Apatah lagi dengan dunia Internet, beliau boleh merakam sendiri penjelasannya dan disiarkan tanpa tapis di Youtube dan media lain. Malah beliau boleh buat rakaman dalam bentuk CD/DVD dan disebarkan kepada orang ramai.
Dalam keadaan ruang cukup luas yang ada untuk beliau memberikan penjelasan, Abdul Hadi memilih untuk mendesak satu jam siaran langsung di RTM! Tidakkah ini menimbulkan keraguan tentang niat sebenar beliau?
Selanjutnya, Abdul Hadi perlu ingat yang membongkar dan mencetuskan isu kesan Amanat Haji Hadi 1981 itu ialah seorang pengikut taksub dan bekas ahli seumur hidup Pas.
CN Al-Afghani bukan calang-calang orang. Beliau pernah duduk dipimpinan Pemuda Pas Negeri. Malah Naqib usrah beliau ialah arwah Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden Pas! Beliau juga pejuang mujahidin di Afghanistan dan Kashmir. Malah beliau pembela balu syuhada Memali dan tinggal bersama mereka! Dan beliau pernah ditahan ISA kerana menjadi Ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM)!
Beliau yang membongkar kesan Amanat Haji Hadi 1981 melalui bukunya Kafirkah Aku!.
Beliau turut menceritakan bagaimana beliau sendiri menjadi begitu taksub dengan Amanat Haji Hadi itu sehingga mengkafirkan ahli keluarganya sendiri yang menjadi ahli atau penyokong UMNO!
Berikutan pendedahan beliau, ramai lagi pengikut taksub Pas yang terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi tampil ke depan mendedahkan bagaimana mereka melalui kehidupan yang sangat menyesatkan akibat amanat itu.
Kita dengar mereka menceritakan tentang nikah kali kedua, sembelihan keluarga sendiri daripada kalangan UMNO dianggap bangkai, ada imam yang enggan solatkan jenazah umat Islam daripada UMNO, solat dua imam, boikot masjid dan macam-macam onak mehnah akibat Amanat Haji Hadi.
Jadi pada saya, Abdul Hadi tidak perlu beri penjelasan kepada umat Islam berbangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Kami semua sudah faham bahawa amanat itu sesat dan bercanggah dengan akidah/ syariat Islam. Malah para ulama, mufti dan ahli agama telah memberikan fatwa dan pendapat yang jelas membuktikan Amanat Haji Hadi itu sesat dan bercanggah dengan syariat Islam.
Jadi umat Islam bangsa Melayu serta rakyat Malaysia tidak perlu dengar dan faham penjelasan Abdul Hadi kerana kami sudah tahu. Malah kami tidak pernah mengikut pun Amanat Haji Hadi itu.
Yang perlu tahu, dan yang perlukan penjelasan ialah para pengikut taksub Pas dan Abdul Hadi yang sehingga ke hari ini tidak menyedari tentang kesesatan Amanat Haji Hadi tersebut. Sehingga hari ini ada yang masih mengkafirkan saudara seagama dan sama akidah hanya kerana amanat itu.
Malah semasa berbual dengan beberapa sahabat daripada Baling, mereka menyatakan kerisauan tentang status ‘mati syahid’ Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang lain yang mati terbunuh dalam Peristiwa Memali.
Kalau Amanat Haji Hadi itu tidak betul, bagaimana keadaan jenazah mereka yang tidak dimandi dan dikafankan! Terus dikuburkan dalam keadaan berlumuran darah kerana dikatakan mati syahid. Malah empat anggota polis yang satu akidah turut dibunuh kononnya halal kerana ‘Polis UMNO’!
Apa nasib mereka ini semua?
Kepada mereka ini yang Abdul Hadi wajib berikan penjelasan. Mereka mahu tahu benarkah UMNO kafir kerana kononnya mengekalkan dan melaksanakan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan kafir serta jahiliyah!
Kalau begitu kedudukannya, mereka mahu tahu mengapa pada 18 Januari 2003, Abdul Hadi membuat ‘Amanat Hadi’ yang menyatakan peruntukan mengenai Islam cukup seperti dalam Perlembagaan!
Mereka juga mahu tahu kenapa perjuangan negara Islam dibuang, diganti dengan negara kebajikan!
Mereka mahu tahu benarkah negara Islam tiada dalam al-Quran? Kalau benar, mengapa Abdul Hadi melancarkan Dokumen Negara Islam pada tahun 2004?
Mereka mahu tahu apa kedudukan Dokumen Negara Islam yang digubal oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din? Apakah Dokumen Negara Islam itu kini bercanggah dengan al-Quran memandangkan Negara Islam rupanya tiada dalam kitab suci itu?
Mereka juga mahu tahu adakah Mesir yang masih mengekalkan undang-undang penjajah walaupun diperintah oleh Presiden Mursi daripada Ikhwanul Muslimin juga adalah negara kafir.
Kalau Mesir masih kafir, bagaimana kelulusan dan ijazah Abdul Hadi dan ramai ustaz dalam Pas yang mendapatnya daripada Mesir? Adakah kelulusan dan ijazah mereka tidak mengikut syariat kerana dikeluarkan oleh negara kafir?
Mereka juga mahu tahu adakah Turki juga kafir kerana bukan sahaja mengekalkan undang-undang penjajah, tetapi meneruskan status sekularisme mereka walaupun kini diperintah oleh Reccep Tayyib Erdogan daripada Parti AKP!
Mereka juga mahu tahu adakah Indonesia, negara umat Islam terbesar di dunia kafir kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah Belanda dan meletakkan Pancasila sebagai prinsip rukun negara Indonesia! Malah amalan homoseks bukan kesalahan jenayah di Indonesia! Apakah Indonesia kafir?
Kalau mengambil Amanat Haji Hadi sebagai kayu pengukur, maka Mesir, Turki dan Indonesia adalah negara kafir, dan kerajaannya kafir kerana masih mengekalkan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan penjajah!
Kalau Mesir, Turki dan Indonesia tidak kafir, mereka mahu tahu mengapa Malaysia dan kerajaannya kafir?
Sebenarnya banyak persoalan yang pengikut taksub dan ahli serta penyokong Pas mahu tahu. Bukan kepada umat Melayu-Islam di Malaysia sebab kami sudah tahu dan kami memang menolak Amanat Haji Hadi.
Jadi tidak perlu Abdul Hadi memberi penjelasan melalui RTM, TV3 atau Utusan Malaysia.
Cukup kalau Abdul Hadi memberi penjelasan melalui Harakah dan media pembangkang, juga melalui Youtube dan media alternatif yang lain.
Awang Hadi juga boleh kerahkan semua ahli, penyokong dan pengikut taksub Pas mengadakan perhimpunan besar di Stadium Kota Bharu, Kelantan untuk tujuan itu. Kalau perlukan bantuan, Abdul Hadi boleh minta bantuan Ambiga Sreenavasan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.
Boleh begitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Siapa Amalkan Politik Suku Agama Suku?

Salah satu intipati utama dalam Amanat Hadi yang mendorong ramai pengikut PAS percaya dan yakini yang UMNO adalah kafir ialah ungkapan “politik suku agama suku” yang difahami oleh penyokong PAS ia merujuk pada fahaman yang kononnya menjadi pegangan UMNO.

Rentetan dari situ, para penyokong PAS beriktikad dalam hati dan tutur katanya bahawa menyokong UMNO adalah haram di sisi Islam dan jika mengundi BN hukumnya kafir atau akan gugur akidahnya.
Kepercayaan songsang sebegini berlaku kerana wujudnya sikap taksub buta tuli yang dikembang biak oleh pemimpin PAS dan ia bertambah parah apabila dalam mana-mana ceramah di pentas politik PAS tidak pernah lupa memainkan propagandanya bahawa UMNO juga menolak Islam.
Kesan daripada doktrin sedemikian akhirnya terus terpahat kukuh di sanubari ramai pengikut PAS tanpa sekelumit pun timbul persoalan sejauh mana benarnya dakwaan songsang pemimpin-pemimpin PAS yang hanya bermodalkan air liur itu.
Langsung tak terdetik di hati mereka betulkah pemimpin UMNO mengemudi parti dengan bersandarkan pegangan bahawa politik suku dan agama suku atau dengan maksud lain politik dan agama Islam mesti diasingkan?
Tak terlintas di benak mereka untuk bertanya lebih lanjut apakah menyokong UMNO benar-benar akan menyebabkan akidah gugur atau terpesong seterusnya menjadi kafir dan tak termungkin mencium bau syurga di akhirat kelak?
Jawapan-jawapan kepada persoalan tersebut sebenarnya tidak sukar untuk ditemui jika pengikut PAS dan pemimpinnya ikhlas meletakkan kebenaran hakiki melampaui kepentingan politik kepartian.
Sebetulnya, sebagaimana penganut Islam yang lain, para pemimpin UMNO, ahli dan penyokongnya senantiasa berpegang teguh bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam.
Bezanya antara UMNO dan PAS ialah, UMNO memperalatkan kuasa politik demi kepentingan agama serta memartabatkan Islam, di masa yang sama memanfaatkan kuasa yang diperolehi untuk manfaat orang Melayu Islam.
Manakala PAS pula, mempergunakan agama Islam untuk mengejar laba politik duniawi demi memenuhi selera peribadi. Dek kerana itulah walaupun kalimah Allah s.w.t dituntut oleh mubaligh dan paderi Kristian, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa berselindung telah mempersetujui tuntutan tersebut.
UMNO sejak ia ditubuhkan hingga sekarang sentiasa peka dengan tuntutan ummah apabila berjaya memperjuangkan martabat agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Negara.
Dan Perlembagaan Negara yang terbentuk dari hasil perjuangan UMNO itulah yang kini mahu dipertahankan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melalui Buku Jingga yang ditandatanganinya sendiri.
Walhal lebih 3 dekad lalu dalam Amanat Hadi pada 1981, beliau mengajak penyokong PAS menentang Perlembagaan Negara yang didakwanya adalah perlembagaan jahiliah, sekular dan kafir.
Jika benar UMNO mengamalkan fahaman “politik suku agama suku” sebagaimana dipropagandakan oleh PAS, nescaya jadi sekularlah negara kita sebagaimana Indonesia yang menetapkan Pancasila sebagai roh negaranya ataupun menjadi seperti Turki yang menetapkan agenda sekular sebagai pegangan negara.
Dalam hal “politik suku agama suku” para pengikut PAS sepatutnya menuntut pemimpin mereka supaya mencerminkan muka sendiri untuk mengetahui siapa sebenarnya mengamalkan pegangan songsang itu.
Bukankah Nik Aziz pernah memperlekehkan teguran Mufti Perak, Ustaz Harussani Zakaria dengan meminta Tuan Mufti yang lantang bersuara itu supaya menjauhi politik? Tidakkah itu bermakna Mursyidul Am PAS tanpa sedar mahu mengasingkan politik dan agama?
Begitu juga apabila Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjauhi unsur politik, bukankah gesaan itu bermatlamat menghalang teguran pihak JAKIM berkaitan politik sekaligus memberi gambaran PAS menolak campurtangan Jabatan Agama dalam hal politik?
Malah Ketua Dewan Ulama PAS, Haron Taib juga pernah dengan lagak egonya mempersoalkan campurtangan Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan berikutan teguran mereka berdua berhubung kesesatan Amanat Hadi.
Kesemua tingkah laku pemimpin-pemimpin PAS itu segalanya menjurus kepada “politik suku agama suku”. Bukan begitu?

Jumaat, 4 Januari 2013

Negara kebajikan cara BN, lebih 10juta rakyat akan terima Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia.


Lebih 10 juta rakyat akan menerima Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) yang akan menawarkan diskaun dari 10 hingga 50 peratus di kedai-kedai dan perkhidmatan terpilih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D"Cruz berkata sehingga kini lebih 4,500 peniaga bersetuju menawarkan diskaun itu untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan menjangka angka itu terus meningkat.
KDR1M merangkumi perkhidmatan perubatan klinik; restoran makanan & minuman; hotel penginapan; arena sukan & kecergasan; pemborong & runcit; taman tema tertutup & luar; pembinaan & hiasan dalaman; resort peranginan; pakaian & aksesori kenderaan; perlindungan insurans am dan sebagainya.
"Pada masa ini telah diwujudkan kad diskaun untuk polis, tentera dan siswa.
Selepas ini kita akan keluarkan KDR1M, di mana lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun apabila membeli barang keperluan mereka," katanya ketika merasmikan ibu pejabat baru Informasi Malaysia di No 30B, Jalan Diplomatik 3/1 Presint 15, Putrajaya. - BERNAMA

Khamis, 3 Januari 2013

MasyaAllah! Haji Hadi Kafirkan Diri Sendiri!

Suatu ketika dahulu pada 7 April 1981, berlangsunglah satu ceramah umum di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu yang menampilkan Hadi Awang sebagai penceramah utama yang kemudiannya telah mencipta sejarah perpecahan ummah yang berpanjangan sehingga lebih dua dekad.  Semuanya gara-gara sebuah Amanat atau Fatwa yang disampaikannya, yang antaranya berbunyi:

Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.
Daripada Amanat Hadi di atas, adalah jelas bahawa beliau menyeru pengikutnya menentang UMNO kerana mengamalkan  perlembagaan penjajah, undang-undang kafir, dan peraturan jahiliyah.  Beliau  kemudian merujuk kepada penentangan itu sebagai jihad di mana sekiranya terkorban dalam keadaan menentang UMNO adalah syahid kerana UMNO itu kafir akibat mengambil sikap  ‘politik suku, agama suku’ iaitu mengamalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir, dan peraturan jahiliyah yang seperti yang disebut sebelum itu.
Menurut Islam, dalam konteks di atas, sebuah penentangan yang dipanggil jihad adalah penentangan yang bersifat peperangan atau pertempuran antara orang Islam dengan pihak yang  memerangi Islam dan orang Islam.   Syahid pula adalah kematian dalam ketika sedang berjuang ke jalan Allah SWT iaitu memerangi pihak yang memerangi Islam dan orang Islam itu tadi.   Kafir pula adalah merujuk kepada mereka yang tidak mengucap kalimah syahadah iaitu tidak beriman kepada Allah SWT.
Justeru, kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat betapa Amanat Hadi itu adalah bercanggah dengan ajaran Islam kerana terbukti UMNO langsung tidak menepati ciri-ciri kafir sepertimana yang digariskan oleh Al-Quran.
Malang bagi kita kerana ramai juga umat Islam di Malaysia yang terlalu mudah terpengaruh dan menjadi taksub dengan Amanat Hadi kerana enggan menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT untuk mengupas intipati Al-Quran.  Kerana itu terjadilah perpecahan yang teruk dan berpanjangan di kalangan umat Islam iaitu antara jiran tetangga, saudara mara, adik beradik, keluarga dan suami-isteri.   Walaupun zaman telah berubah, namun ketaksuban segelintir mereka masih kekal sama selagi Hadi sendiri tidak meletakkan titik noktah mahupun memadamkan amanatnya.
Dari perkembangan semasa, nampaknya Hadi tidak akan sekali-kali menarik balik Amanatnya, atau dalam ertikata lain, masih inginkan pengikutnya berpegang kepada kepercayaan bahawa UMNO itu kafir kerana masih mengamalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir, dan peraturan jahiliyah.
Namun, yang menggerunkan kita ialah dalam keghairahan ‘berjihad’ menentang UMNO yang ‘kafir’, Hadi telah tidak semena-mena telah ‘mengkafirkan’ diri sendiri apabila turut menjunjung perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah yang diamalkan UMNO.  Untuk itu, Buku Jingga yang menjadi Dasar Bersama Pakatan Rakyat merupakan dokumen rasmi yang merekodkan bagaimana Hadi mengkafirkan diri sendiri kerana di dalamnya terdapat ikrar PR yang berbunyi:
“Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.” (Buku Jingga PR)
Ini diperkuatkanlagi dengan Ucapan Dasar Hadi sebagai Presiden PAS di dalam Muktamar PAS 2012 yang bertajuk, Negara Berkebajikan Teras Perpaduan.  Antara kandungan ucapan ini ialah:
“Selain dari melaksanakan tekad kita bersama Pakatan Rakyat sebagaimana yang sama-sama kita rangkakan dalam Buku Jingga, PAS juga ingin melebarkan 20 komitmen untuk membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita sekiranya diberi ruang untuk ke Putrajaya, selain dari iltizam untuk sama-sama membangunkan negara kita ke arah yang lebih baik menerusi MANIFESTO khusus yang akan dibentangkan kepada rakyat bila tiba masanya yang sesuai nanti.”
dan
79.   Antara intipati terpenting komitmen PAS ialah, untuk memartabatkan Islam                sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf dan mengupayakan peranan generasi muda, meningkatkan dan mengiktiraf peranan wanita, membela dan memajukan golongan petani, meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan tanpa membebankan rakyat, agenda khas ekonomi dan pengurusan kewangan, memperkenalkan keadilan sistem pendidikan, memperkenalkan seni-budaya yang memartabatkan nilai hidup insan, dan sebagainya.
Sebenarnya, Hadi telah lama mengkafirkan dirinya iaitu ketika menuju PRU-11 lagi,  iaitu ketika  PAS mencari formula untuk mengekalkan kemenangan dan meluaskan kejayaan pilihan raya.  PAS kemudian membuat perkiraan politik bahawa kerjasama dengan DAP adalah wajib; persekongkolan dengan Anwar adalah perlu. Maka demi mencapai formula kemenangan itu, Hadi berkata;
“Justeru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif (DAP-PKR-Pas) dahulu, maka Pas perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan.  Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini. Seandai menang dalam pilihan raya akan datang, pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat Pusat, yang akan mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!”
Justeru, apa sudah jadi Hadi?  Akhirnya, perlembagaan dan undang-undang yang dahulunya dikatakan menjadi punca UMNO jatuh kafir kini turut dijunjung dan dipegang oleh Hadi.

Nampaknya, begitu tinggi sekali riak, takbur dan egonya manusia yang mengangkat diri sendiri sebagai Ulama ini, sehingga sanggup mengkafirkan diri sendiri daripada menarik balik amanatnya.   MasyaAllah!   Apa lagi yang nak dikata..??

Selasa, 1 Januari 2013

Perutusan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Tun Najib Razak Sempena Tahun Baru 2013.

Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,
Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut tahun baru 2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di sepanjang Tahun 2012.
Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik. Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang membanggakan. Laporan Bank Dunia, "Doing Business 2013" misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan "World Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Rakyat Malaysia Yang DiKasihi,
Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.
Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Kedua, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan.
Ketiga, meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras, di mana kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.
Keempat, untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat terbaik untuk membina sebuah kehidupan. Tempat terbaik untuk berkeluarga dan membesarkan anak-anak, sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang, sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan yang selamat dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkemampuan.

Rakyat Malaysia Yang DiHormati,
Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. InsyaAllah, dengan perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kemungkinan yang berterusan.
Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan puan-puan. Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita.
Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang diberi.
 
Rakyat Malaysia Sekalian,
Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan halatuju yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak di bawa. Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah. Hari ini tanggungjawab terletak pula di bahu kita. Sama ada Malaysia terus mara ke hadapan atau berundur.
Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan yang terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan itu asas aspirasi. Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus menyinar.
Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.

Selamat Tahun Baru 2013.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.