Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
1Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,
Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut
tahun baru 2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan
menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan dan
pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di sepanjang Tahun
2012.
Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama
Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik.
Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya, angka
tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang membanggakan.
Laporan Bank Dunia, "Doing Business 2013" misalnya, telah meletakkan
Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala
laporan "World Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan
Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.
Rakyat Malaysia Yang DiKasihi,
Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun
2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil
iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang baik dan telah
terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan
yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan
diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan
nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan
tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung
Dasar Transformasi Nasional.
Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional
bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara
dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.
Kedua, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan
rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia
yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan dan
subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan diperkukuhkan
lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan.
Ketiga, meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan
pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem
pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang
individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya keusahawanan dan sejauh mana
kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras, di mana kreativiti, inovasi
dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.
Keempat, untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat
terbaik untuk membina sebuah kehidupan. Tempat terbaik untuk berkeluarga dan
membesarkan anak-anak, sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang,
sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan yang selamat dari jenayah, alam
sekitar yang lestari, sekolah dan institusi pendidikan yang berkualiti serta
sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkemampuan.
Rakyat Malaysia Yang DiHormati,
Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan
sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. InsyaAllah, dengan
perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari ini
akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kemungkinan
yang berterusan.
Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita
lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu
tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah
kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan puan-puan.
Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti.
Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan,
bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan
yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita.
Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati
rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu
tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji
akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan sebaik-baiknya
bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama inipun, telah terbukti kami
menepati segala janji dan komitmen yang diberi.
Rakyat Malaysia Sekalian,
Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu
penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina
sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan halatuju
yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek
namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana
masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak di bawa. Bapa-bapa
dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan
keringat, air mata dan darah. Hari ini tanggungjawab terletak pula di bahu
kita. Sama ada Malaysia terus mara ke hadapan atau berundur.
Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana
peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga
yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan yang
terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan itu asas aspirasi. Saya
menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam merealisasikan destini
Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus menyinar.
Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2013 ini
menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.
Selamat Tahun Baru 2013.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan