KATA-KATA TERAKHIR TUN DR MAHATHIR MOHAMAD sebelum meninggalkan kerusi PRESIDEN UMNO ketika PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 54.
"Sesungguhnya musuh UMNO tidak kuat. Mereka tidak
mungkin mengalahkan UMNO. Tetapi UMNO boleh mengalahkan UMNO. Saya tidak perlu
hurai perkara ini. Kita semua tahu. Parti lawan tidak menang. Hanya UMNO yang
kalah.
Sesungguhnya UMNO tidak mungkin kalah jika kesetiaan kita
kepada parti, pada bangsa dan agama tidak dilunturkan kerana kepentingan diri.
Tidak ada parti politik di mana-mana yang lebih berjaya memulihkan maruah
sesuatu bangsa, seperti UMNO. Daripada bangsa yang dijajah dan dihina, bangsa
Melayu sekarang dianggap sebagai bangsa yang begitu berjaya sehingga menjadi
contoh kepada ramai bangsa-bangsa lain di dunia. Jasa UMNO kepada orang Melayu,
Bumiputera lain, bangsa Malaysia dan negara Malaysia amatlah jelas dan besar.
Janganlah kekecewaan kita menghancur semula maruah bangsa kita
Jika boleh saya ulangi, perjuangan kita, UMNO dan orang
Melayu dan Bumiputera lain belum selesai. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh
kita. Hanya untuk mengekalkan kemerdekaan kita, kebebasan kita, memerlukan
usaha yang gigih dan berterusan. Apatah lagi jika kita ingin memulih maruah
bangsa dengan sepenuhnya dengan menjadi bangsa yang maju dalam sebuah negara
maju.
UMNO, saya ulangi bukan sebarang parti. UMNO adalah teras
dan tunjang kepada parti yang memerintah negara tercinta ini. Kuat UMNO kuatlah
Barisan Nasional, kuatlah Kerajaan Malaysia, kuatlah Malaysia. Lemah UMNO akan
mengundang malapetaka kepada kita semua.
Ini adalah kali terakhir yang dapat saya sampaikan ucapan
perasmian dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya pohon maaf jika saya mengambil
masa yang panjang untuk menyampaikan ucapan ini. Saya hanya ingin menyumbang
kepada parti yang telah memberi peluang yang banyak bagi saya merealisasikan
segala idea yang ada pada saya bagi pemulihan maruah bangsa saya, memajukan
sedikit bangsa saya dan negara saya.
Sama ada saya berjaya atau tidak bukan untuk saya
menilaikannya. Rakyat dan sejarah yang akan menghukum dan menilai baik atau
buruk khidmat yang telah saya berikan.
Saya amat menghargai sokongan UMNO, orang Melayu dan
Bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain dan saya bersyukur dan berterima kasih
kerananya. Saya juga pohon ampun dan maaf terhadap segala kesilapan dan
kesalahan saya sepanjang saya berkhidmat dalam parti yang bertuah ini.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang telah memberkati
hamba-Nya yang kerdil ini. Saya berdoa kepada-Nya supaya memelihara bangsa
hamba-Nya ini daripada sifat-sifat yang keji dan menjadikan mereka bangsa yang
mulia dan berjaya, yang mematuhi segala ajaran agama suci Engkau, ajaran yang
menyuruh berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan bangsa ini untuk
dijadikan contoh sebagai umat Islam yang tunduk kepada segala perintah Engkau
Ya Allah. Amin
Dengan doa ini, saya dengan hati yang berat tetapi gembira,
merasmikan Perhimpunan Agung UMNO yang ke 54 ini"
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan