Dalam perbalahan mengenai isu dalam negeri-negeri jajahan
PAS pula, PAS negeri seringkali terpaksa berhadapan dengan DAP Pusat secara
bersendirian kerana PAS Pusat enggan menawarkan sokongan kepada PAS negeri,
bagi mengelakkan masalah besar dalam perkahwinan mereka.
Dan inilah yang berlaku terhadap YAB Dato’ Seri Azizan
Razak, Menteri Besar Kedah beberapa kali.
Sebelum ini, beliau telah terpaksa bertekak dengan DAP kerana isu
melarang gambar wanita tidak bertudung dipaparkan di papan tanda negeri itu,
kemudiannya isu menutup pusat hiburan di bulan Ramadhan dan kini isu
garispanduan bagi aktiviti hiburan di tempat awam di Kedah.
Seperti juga isu-isu lain, PAS Pusat nampaknya langsung
tidak cuba untuk membela Azizan dalam isu terkini ini. Malah, kita tidak hairan jika PAS Pusat
mengarahkan agar Azizan akur sahaja dengan kehendak DAP. Ini kerana mengenali Azizan, beliau tidak
akan semudah itu tunduk kepada DAP jika tidak kerana arahan dari kepimpinan PAS
sendiri.
Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching menempelak
garispanduan yang dikenakan Azizan sebagai tidak masuk akal, tidak boleh
diterima dan tidak bijak. Sementara exco
Kedah, Tan Chow Kang dari PKR pula bertanya sinis sama ada Azizan inginkan kaum
Cina di Kedah mendengar lagu-lagu komunis sahaja.
Garispanduan itu, yang dilaporkan oleh China Press and
Nanyang Siang Pau mengharamkan wanita dewasa dari menyertai persembahan hiburan
untuk orang awam. Selain itu,
garispanduan tersebut juga mengharamkan persembahan muzik langsung, dan hanya
boleh diadakan dengan menggunakan rakaman awal (minus one). Persembahan pula hanya dibenarkan untuk
lagu-lagu berunsur agama dengan semua yang terlibat berpakaian sopan.
Kelab Penyokong PAS juga tidak ketinggalan mengkritik Azizan
dalam hal ini dan menganggap ia sebagai satu tindakan yang tidak peka dan tidak
toleran terhadap agama dan budaya lain, serta ‘pentingkan diri sendiri’.
Apa yang menyakitkan lagi hati DAP ialah garispanduan ini
dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina. Dengan garispanduan ini, tentunya perayaan
Tahun Baru Cina di Kedah akan menjadi muram dan hambar.
Tindakan kerajaan negeri Kedah ini memperlihatkan
kekeliruan, kalaupun tidak hipokrasi yang kronik di dalam PAS. Bukan kita tidak tahu bahawa dalam isu
hiburan, PAS Kedah hanya berada beberapa langkah saja di belakang Selangor
dalam perlumbaan membuka pusat-pusat hiburan baru. Pusat Karaoke tumbuh tanpa kawalan, bagai
cendawan sejak PAS memerintah Kedah, sehinggakan ada yang bersebelahan sahaja
dengan surau atau masjid. Rungutan
mengenai moral anak-anak muda Kedah yang semakin buruk bagai sudah menjadi satu
fenomena di kalangan ‘orang-orang lama’ Kedah, terutama di bandar Alor Setar.
Seperti yang kita sedia maklum, pusat-pusat hiburan yang
menawarkan hiburan secara tertutup beroperasi secara berterusan sementara
hiburan berbentuk persembahan di tempat awam dan di atas pentas pula, adalah
bersifat sekali-sekala. Berdasarkan
faktor inilah maka garispanduan yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah itu
dilihat sebagai usaha untuk menunjuk-nunjuk alim dan bukannya usaha ikhlas
untuk memelihara nilai-nilai moral rakyat Kedah.
Tidak mustahil, usaha menunjuk-nunjuk alim ini adalah respon
kepada hujan kritikan yang tidak henti-henti menimpa Azizan kerana gagal
melaksanakan pentadbiran Islam sebenar mengikut kacamata PAS.
Azizan tidak ada pilihan selain terpaksa menghadapi seluruh
parti DAP dan masyarakat Cina Kedah sekali lagi, secara berseorangan. Jika beliau boleh mengelak dari isu balak
dengan hanya bersikap angkuh atau mengelak dari isu-isu yang timbul di dalam
Laporan Audit dengan mengambil sikap tak tahu, nampaknya, beliau tidak mungkin
dapat mengelak isu ini dengan hanya berdiam diri.
Ini kerana, apabila ia melibatkan kepentingan DAP secara
langsung, maka PAS Pusat akan memastikan Azizan tidak senang duduk selagi tidak
menanganinya dengan baik tanpa menyinggung DAP.
Hakikatnya, sehingga kini, masyarakat Cina masih keliru
mengenai siapa dan apakah PAS sebenarnya dan kekeliruan itu membuatkan mereka
semakin ragu-ragu untuk memberi undi kepada DAP. Apakah benar PAS sudah terbuka? Atau PAS hanya menyembunyikan ektremismenya
untuk sementara? Apakah DAP mampu
mengekang pemikiran jumud dan ekstrem PAS mengenai agama? Sampai bila DAP mampu mengawal PAS? Dan apakah jaminan yang PAS tidak akan
bangkit dengan lebih bersemangat sehingga mengatasi kelicikan DAP jika PR
menang PRU kali ini?
Soalan yang sama juga mungkin perlu ditanya oleh Azizan
kepada dirinya sendiri dan juga kepada kepimpinan PAS. Ketahuilah oleh PAS bahawa rakyat keseluruhan
juga turut menantikan jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan