"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari
mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan
kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehedak sebenar," kata
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron
Din dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam Ahad.
Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan
bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru
tindakan tersebut perlulah ditegah.
"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah
menamakan diri-Nya.
"Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam
mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah
tersebut.
"Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan
kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, Nik Aziz dan Haron Din sepakat menegaskan
kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun
boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam
menyebutnya.
"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan
Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan
tidak diperanakkan," katanya.
Mesyuarat Majlis Syura PAS yang bersidang pada malam Ahad,
diadakan khas bagi membincangkan mengenai isu kalimah Allah pada malam Ahad
bermula pada pukul 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Pemimpin PAS dan ahli Majlis Syura yang hadir bagaimanapun
enggan memberikan sebarang kenyataan sebaliknya hanya kenyataan media sahaja
diedarkan kepada kira-kira 20 wartawan yang menunggu.
Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak
boleh disalah guna untuk kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan umat
Islam.
Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas
mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible
bahasa Melayu.
Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai
pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.
Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali
ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.
Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi PAS sendiri termasuk
Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Haron Din, Setiausaha Agung Datuk Mustafa
Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyatakan
pendirian tegas mereka, tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut
bukan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan