Sabtu, 3 Disember 2011

Hasil Kajian Panel Pemikir Pas,BN Kembali Disokong!



Hasil kajian empirikal yang membayangkan sokongan rakyat telah kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus diterjemahkan anggota Umno dengan kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu, semua anggota parti harus bekerja keras bagi memastikan sokongan tersebut terus kekal bersama UMNO dan BN apabila pilihan raya  berlangsung.

Katanya, berdasarkan kajian oleh panel pemikir yang diarahkan Pas Pusat, sebanyak 56.1 peratus setuju DAP cuba menghakis Ketuanan Melayu serta DAP merupakan parti cauvinis.

"Dari kajian tersebut juga, sebanyak 54.2 peratus bersetuju UMNO membela hak dan ketuanan Islam, serta 54.1 peratus bersetuju Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak) berjaya memulihkan kembali sokongan rakyat yang terhakis dahulu,” katanya semasa menggulung perbahasan, pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata, kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kendalian Prof. Datuk Dr. Syed Arabi Syed Abdullah Idid pula menunjukkan rakyat Malaysia kembali yakin dengan prestasi BN masa kini.
"Pada 2011, 86 peratus yakin Malaysia diurus dengan baik oleh BN. Pada 2010, 77 peratus saja menaruh keyakinan pada penterjemahan program (Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik), tetapi tahun ini angka meningkat sebanyak 82 peratus.

"Malah, penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia telah diterima baik oleh rakyat Malaysia, iaitu sebanyak 85 peratus pada tahun ini berbanding 75 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Zahid berkata, berdasarkan keputusan kajian terbabit, potensi UMNO dan BN untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang amat besar.

“Potensi tidak ada hanya pada Presiden, atau Timbalan Presiden, atau Naib-naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi, atau Menteri, potensi ada pada kita semua termasuk pemimpin di peringkat Bahagian dan Cawangan,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada ‘tentera baru’ UMNO dan BN iaitu pengamal media sosial seperti pengguna Twitter, blogger dan Facebook.
"Kita mesti hargai bala tentera siber kita yang berjuang untuk kita, bantu kita tanpa upah, tanpa tidur, tanpa ganjaran untuk mereka.

"Kita mesti akui peranan media baru sebagai alat komunikasi penting masa kini, dan ia boleh menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah parti memerintah negara,” katanya.

Tiada ulasan: