Sabtu, 17 Disember 2011

Insentif RM30j untuk siswazah.




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta sebagai insentif untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, insentif berkenaan merupakan tambahan daripada peruntukan yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini untuk membangunkan sektor pertanian negara.

Selain itu, katanya, peruntukan baharu terbabit juga merupakan sokongan penuh kerajaan terhadap penubuhan Kelab Usahawan Tani atau MyAgrosis yang dilancarkan hari ini.

"Dalam usaha kerajaan untuk menyokong penuh Kelab Myagrosis mencapai matlamat, saya telah mencadangkan agar pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya iaitu FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Agrobank dan Tekun Nasional bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan inisiatif meningkatkan pengeluaran pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kelab MyAgrosis Peringkat Kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah di Merbok, dekat sini hari ini.


Beliau berkata, peruntukan RM30 juta itu ialah tambahan RM10 juta bagi Inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Tani Agrobank sebagai pinjaman mudah, RM10 juta untuk dana khas daripada Tekun Nasional manakala RM10 juta lagi peruntukan kementerian bagi meningkatkan kemudahan pertanian.

Perdana Menteri berkata, negara amat memerlukan lulusan institut pengajian tinggi berkecimpung secara langsung dalam bidang keusahawanan tani.

Katanya, langkah tersebut bukan saja dapat melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara tetapi turut membantu mengurangkan defisit serta kebergantungan terhadap bekalan makanan import.

Sementara itu, Perdana Menteri melahirkan rasa yakin Kelab MyAgrosis akan mendapat sambutan memandangkan keahliannya kini telah mencapai 10,000 orang dan dijangka meningkat kepada 20,000 orang pada tahun depan.


"Fenomena ini boleh membentuk komuniti usahawan siswazah komersial yang lebih dinamik. Malah, saya yakin, mereka bijak mengenal pasti peluang-peluang dalam pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

-Utusan

Tiada ulasan: