Rabu, 21 Mac 2012

200 Pelajar Terima Netbook 1 Malaysia.


MERBOK - Seramai 200 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah dalam parlimen Merbok bertuah apabila menerima sumbangan netbook 1malaysia di majlis penyerahannya oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, semalam.

Selain sumbangan netbook 1malaysia, seramai 120 orang pelajar kurang berkemampuan dari tiga buah sekolah rendah juga turut menerima sumbangan beg serta pakaian sekolah.

Dato' Hj Tajul Urus berkata pemberian netbook ini adalah secara simboliknya menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada perkembangan ICT pada hari ini.Menurutnya perkembangan ICT pada hari ini adalah perkara yang penting kerana dunia hari ini adalah dunia yang tiada sempadan dimana serata pelusuk dunia kini telah disambungkan oleh internet.

Tegasnya, melalui ICT, individu dapat mengakses pelbagai maklumat berkaitan pendidikan, politik dan perniagaan.

"Kita duduk di Malaysia atau di Korea, Amerika ataupun kita tinggal di pekan kecil seperti di Tupah atau di Sungai batu, semuanya telah disatukan melalui jaringan internet malah jika pada masa dahulu buta huruf menjadi ukuran tetapi hari ini buta ICT pula yang menjadi ukuran", katanya.

Beliau juga berkata, pemberian netbook ini merupakan satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Menurutnya Jurang digital ini jika dibiarkan akan menjadi bertambah besar dan akan menyebabkan penduduk luar bandar serta yang kurang berkemampuan akan ketinggalan, kerana itu salah satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang tersebut ialah dengan memberi sumbangan netbook.

Turut hadir pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wilayah utara, Mohd Hussin Ali serta pengetua SMK Merbok, Hj. Osman Ahmad.



Antara pelajar yang menerima pakaian dan beg sekolah.

Tiada ulasan: