Selasa, 27 Mac 2012

RM8,000 Bina Stor Dan Tempat Memasak.



SUNGAI LAYAR - Jemaah Surau Al-Ikhwan dan penduduk Kampung Che Bema, Sungai Layar kini boleh menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi menyewa khemah atau risau mengenai lokasi menyimpan barang kerana bakal mempunyai stor dan ruang memasak yang bakal siap tidak lama lagi.

Penaung Surau Al-Ikhwan, Abd Ghani Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata, surau yang pada mulanya dibina menggunakan asas kayu berusia kira-kira 30 tahun, sebelum ini ditimpa bencana ribut pada 2004 yang memusnahkan keseluruhan bahagiannya.

Menurutnya, Ahli Parlimen Merbok ketika itu, Datuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri Zainudin Maidin) telah memperuntukkan RM80,000 untuk pembinaan semula surau berkenaan di samping dana dari individu sebanyak RM50,000.

“Pada mulanya, surau ini dibina hasil kutipan derma orang ramai tetapi musnah dalam kejadian ribut pada 2004, dengan sumbangan yang diterima, surau ini dibina semula bagi memberi kemudahan penduduk beribadat selain dijadikan lokasi menganjurkan sebarang majlis,” katanya.

Menurut Pak Tam, sekiranya ingin mengadakan gotong-royong menganjurkan majlis kenduri atau aktiviti kemasyarakatan, penduduk perlu mendirikan khemah bagi menyediakan ruang memasak dibawahnya.Khemah pula terpaksa disewa dengan kos tertentu.

Bagaimanapun, dengan keprihatinan Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain telah membawa khabar gembira kepada penduduk dan jemaah surau tersebut.

Peruntukan sebanyak RM8,000 untuk mendirikan stor menyimpan barang dan ruang memasak telah diluluskan dan kini pembinaan sedang dijalankan.Sebuah khemah untuk kegunaan penduduk juga telah disumbangkan bagi kegunaan penduduk untuk sebarang program dan aktiviti.



*Diterbitkan dengan kerjasama Siti Zubaidah Zakaraya(Sinar Harian)

Tiada ulasan: