Jumaat, 16 Mac 2012

Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati - Tajul.



SUNGAI PETANI - Penyakit buah pinggang adalah suatu penyakit merbahaya yang boleh mengancam nyawa. Setakat ini hanya ada 2 cara rawatan sahaja untuk penyakit ini, iaitu dialisis dan juga melakukan pemindahan buah pinggang.Prosedur rawatannya pula memerlukan kos yang sangat tinggi. Oleh itu, jalan yang terbaik ialah dengan mengamalkan prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, kerana fakta tersebut, beliau percaya pihak Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan usaha untuk menimbulkan kesedaran kepada orang ramai akan bahaya penyakit buah pinggang dan impaknya kepada pesakit, keluarga, masyarakat dan negara.

"Kementerian perlu mengingatkan orang awam bahawa langkah-langkah pencegahan awal adalah penting dalam membendung gejala penyakit buah pinggang ini", katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 peringkat Negeri Kedah di Taman Jubli Perak di sini.


Beliau sebelum itu menyertai kayuhan basikal amal sejauh 22km yang dianjur oleh Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani sempena sambutan itu.

Katanya bagi kebanyakan kes pesakit buah pinggang kronik, mereka tidak menyedari penyakit yang mereka hidapi kerana simptom penyakit buah pinggang biasanya muncul pada peringkat yang lebih teruk.

Sementara itu Pengarah kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat pula memberitahu, seramai 15,078 orang sedang menunggu penderma organ dimana dari jumlah itu seramai 15,055 orang memerlukan penderma buah pinggang.Beliau turut meningatkan orang ramai supaya mengamalkan pemakanan sihat bagi mengelakkan penyakit tersebut.Pihak kementerian juga katanya, sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran orang awam dengan mengadakan pelbagai program kesedaran.

Pengerusi National Kidney Foundation, Dato Dr Zaki Morad pula mendedahkan, sambutan terhadap kempen pendermaan organ oleh rakyat di negara ini masih ditahap yang rendah dimana hanya 0.3 setiap sejuta yang berdaftar sebagai penderma organ walaupun statistik penderma organ dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan.

Katanya berdasarkan tinjauan yang telah dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, antara sebabnya adalah keengganan ahli keluarga untuk memberikan kebenaran pemindahan organ atau tisu yang hendak dijalankan. Alasan tertinggi yang diberikan adalah takut, masalah agama serta tidak mahu jenazah mengalami kesakitan setelah kematian.




Tiada ulasan: