Rabu, 21 Mac 2012

Bina Segera Jambatan Gantung.



BUKIT SELAMBAU - Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah telah meluluskan pembinaan sebuah jambatan gantung yang merintangi Sungai Muda disini bagi kemudahan penduduk terutama dari Kampung Jerai Dan Kampung Kuala Sin.

Menurutnya perkara itu merupakan antara perkara yang telah lama disuarakan oleh penduduk terutamanya dari dua kampung berkenaan bagi kemudahan mereka berulang alik menyeberangi sungai untuk ke dusun serta beberapa buah rumah di seberang sungai itu.Menurutnya lagi sekiranya berlaku kematian, penduduk juga terpaksa membawa jenazah melalui Jeniang dan ini dapat dielakkan sekiranya jambatan itu dibina.

“Yang ini saya telah minta supaya Yang Berhormat Menteri dapat meluluskan permohonan penduduk kampung ini dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Shafie Apdal untuk program Mesra Rakyat Barisan Nasional Parlimen Merbok Bersama GiatMara di Sekolah Kebangsaan Seri Wangsa, Bukit Selambau, kelmarin.

Menurutnya lagi turut diluluskan serta merta adalah permohonan untuk menurap tar kawasan sekeliling masjid Pokok Machang.

"Masjid ini adalah masjid yang dibina dari kutipan dan sumbangan orang ramai dan saya merasakan adalah wajar untuk kita men'tar'kan kawasan masjid ini," ujarnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmian program itu, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perubahan yang dapat dilihat dinegara ini pada hari ini tiada siapa dapat menafikan.Kawasan kampung yang dahulunya tiada kemudahan dari segi prasarana telah pun berubah suasana serta keadaan sekeliling.

Menurutnya ada hampir 25,000 kampung diseluruh negara, walaupun masih ada kampung yang masih dalam keadaan memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan, namun dengan perancangan yang sedang dilakukan, beliau yakin kampung-kampung ini akan dapat dimajukan.

"Pada hari ini dibawah kepimpinan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau telah mencetuskan satu pendekatan supaya boleh kita pertingkatkan lagi kerancakan ekonomi, bukan hanya prasarana sampai ketahap yang kita kehendaki, kerana kita sedar dan tahu masih ada lagi kampung-kampung yang memerlukan sokongan dan bukan hanya jambatan dan jalan-jalan raya," katanya.




Tiada ulasan: