Ahad, 4 Mac 2012

Kehendak Rakyat Jadi Manifesto PRU-13.


SUNGAI PETANI - Barisan Nasional (BN) akan memasukkan kehendak rakyat Kedah dalam manifesto pilihan raya dan menjadikannya agenda bagi parti untuk menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sehubungan itu, satu tinjauan berhubung keperluan di kalangan penduduk negeri itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Katanya, BN juga akan mendapatkan maklum balas dan laporan bersesuaian daripada semua pihak termasuk kalangan Ahli Dewan undangan (ADUN) berhubung masalah yang dihadapi untuk diselesaikan.

"Kita akan baca semua kehendak rakyat Kedah, hangpa nak apa? Saya InsyaAllah akan beri apa yang kerajaan patut dan mampu,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Perdana sempena Program Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) di hadapan lebih 20,000 orang di Taman Ria Jaya, di sini semalam.

"Kita akan baca, dapat laporan daripada ADUN BN apa yang orang Kedah mahu. Saya akan mai (datang) lagi untuk lihat sama ada mereka perlu rumah, pelaburan atau lain-lain yang patut,'' katanya.

Hadir bersama Pengerusi Kelab ADUN BNBBC, Datuk Nazri Ismail; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

 Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, BN akan memastikan janji-janji yang dimasukkan dalam manifesto itu kelak dapat ditunaikan.

"Semua orang tahu di bawah BN, kita lakukan secara adil. Begitu juga di Kedah, saya percaya, jika kita diberikan mandat, kita akan lakukan lebih baik dari sekarang,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat negeri ini supaya melakukan perubahan dengan memberikan mandat yang padu kepada BN.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengingatkan pemimpin BN agar sentiasa merasai keperluan dan denyut nadi rakyat sekiranya mahu perubahan.

"Kita mesti tahu masalah rakyat, kenal pasti apa yang mereka mahu. Tidak boleh ada jarak yang memisah kita daripada rakyat.

"Sebagai anggota yang mewakili BN, kita mesti mendahulukan rakyat sepanjang masa. Perubahan yang kita lakukan itu mestilah berpunca daripada kesanggupan kita berbuat demikian,'' katanya.






1 ulasan:

Perkasakedah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.