Tajul meninjau keadaan rumah yang uzur. |
SUNGAI PETANI - Nasib seorang nelayan kecil yang tinggal di sebuah rumah yang bocor dan dimasuki air semasa hujan mendapat perhatian Pengawai penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain selepas berkunjung ke rumah tersebut semalam.
Abdullah Mat Isa, 46, yang menetap di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok dekat sini, tinggal seorang diri di rumah usang tersebut selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia.
Rumah itu yang tidak mempunyai bilik tidur dan sudah reput dimakan anai-anai, hanya ada sebuah katil serta bilik air yang rosak.
Lebih menyedihkan, apabila hujan, dia basah kuyup disebab keadaan bumbung yang bocor kerana beliau tidak mampu membaikinya dan masalah itu berlarutan sejak dulu lagi.
Abdullah juga mendakwa, pernah meminta bantuan wakil rakyat kawasan ini, tetapi tidak dihiraukan termasuk mengadu perkara ini kepada Exco kerajaan negeri.
“Saya terpaksa tinggal di rumah ini kerana tiada rumah lain, selain biasa dengan keadaan ini. Walaupun rasa kurang selesa, apa boleh buat kerana ini saja tempat yang ada selagi saya masih hidup",
“Apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak mampu bekerja kecuali menangkap ikan dan pendapatan yang didapat cuma dapat menampung pembelanjan harian sahaja,” katanya.
Sementara itu, Tajul Urus berkata, beliau akan berusaha mendapatkan peruntukan khas daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal supaya kerja bina semula dapat dilakukan.
Menurutnya, keadaan rumah itu memang teruk kerana terlalu usang dengan lantai papan yang pecah di banyak tempat dan berlubang, manakala bumbung rumah bocor dan tidak selamat untuk didiami selain pernah beberapa kali dimasuki ular dan binatang liar.
Tambahnya lagi, rumah tersebut akan runtuh jika kerja baik pulih tidak dijalankan kerana rumah tersebut terlalu usang dan reput.
Beliau berharap Abdullah dapat bersabar sementara permohonan peruntukan khas itu diproses.