Beliau berkata, terdapat sebahagian umat Islam negara ini
yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada penduduk
Malaysia dalam bentuk keamanan, perlindungan daripada bencana alam dan
pentadbiran kerajaan yang cekap.
''Keadaan kita sebenarnya, kita kurang bersyukur dan kalau
kita pergi ke negara-negara lain, tidak payah jauh, dekat-dekat sini pun tidak
apa, kita dapati bahawa keadaan mereka lebih buruk daripada kita,''
Sebaliknya, umat Islam negara ini juga dihasut supaya jangan
bersyukur dan diajar untuk memaki orang, katanya.
Beliau menegaskan, tidak ada negara lain yang mana umat Islam
dan bangsa lain hidup dengan bahagia kecuali di Malaysia sementara dunia
menyaksikan keadaan huru-hara dan bencana alam seperti taufan, gempa bumi dan
ledakan gunung berapi di tempat lain.
''Jadi, janganlah buat angkara. Kalau tengok orang buat
demo, demo jatuhkan kerajaan, kita pun hendak buat demo jatuhkan kerajaan, kita
ada cara hendak jatuhkan kerajaan iaitu melalui pilihan raya, kalau dapat
menang, menanglah, kalau kalah, kalahlah," katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan mereka yang tidak bersyukur
ini bahawa dalam al-Quran sudah disebut janji Allah SWT di mana mereka yang
menidakkan nikmat Tuhan akan ditimpa azab yang pedih.
Dr. Mahathir juga berpendapat, sekiranya ajaran Islam
diperjelaskan dan ditunjukkan dengan betul, ia akan dapat menyatukan seluruh
penduduk negara tanpa mengira agama mereka.
Kesukaran untuk berbuat demikian menyebabkan kadang-kala
segelintir penduduk bukan Islam berada dalam keadaan 'bermusuh' dengan agama
itu disebabkan pandangan negatif mereka, katanya.''Bukan kita nak paksa orang memeluk agama Islam tetapi pandangan negatif ini menyebabkan kita ini kadang-kadang macam bermusuh, itulah yang menyebabkan kita tidak dapat menyatupadukan rakyat,'' katanya.
Dr. Mahathir turut ditanyakan soalan oleh seorang wartawan
dari China yang beragama Islam tentang pandangannya mengenai umat Islam di
republik itu berdasarkan lawatannya ke negara itu sebelum ini.
Kata beliau, semasa lawatan ke daerah-daerah yang didiami
penduduk Islam di negara itu, beliau mendapati mereka sangat patuh kepada
ajaran agama. - BERNAMA