Isnin, 25 Jun 2012

Sebelum Menang, Kedai Karaoke tepi Jalan Pun Salah UMNO!

Kerajaan Pas Kedah yang menerima kritikan hebat kerana dikatakan gagal mengekang pertambahan pusat hiburan akhirnya mengakui meluluskan lesen baru bagi pembukaan pusat-pusat berkenaan di bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sebanyak empat lesen baru diluluskan oleh pejabat daerah selepas tiada bantahan daripada agensi-agensi penguatkuasa termasuk polis dan bomba.

Beliau berkata, pusat-pusat hiburan yang lain pula mendapat lesen pada 2008 dan diaktifkan semula untuk operasi.
"Dalam hal ini saya telah menghubungi pejabat daerah dan mereka memaklumkan hanya ada empat yang baru. Yang lain itu bukan lesen baru cuma sekarang dia aktif balik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada kontijen Sukan Malaysia (Sukma) Pahang XV 2012 di Seri Mentaloon.

Beliau ditanya mengenai isu pertambahan pusat-pusat hiburan di negeri ini sehingga menimbulkan kebimbangan lebih ramai golongan muda akan terjebak dalam gejala tidak sihat.
Ini termasuk pembukaan pusat hiburan terbesar di Mergong, dijangka dibuka penghujung bulan ini yang dikatakan diserikan dengan peluang kepada pengunjung untuk menari bersama deejay wanita terkenal dari perancis.

Azizan berkata, pembukaan pusat hiburan bukan bermakna pengusaha dan pengunjungnya boleh berbuat sesuka hati tetapi mesti berada di bawah kawalan serta peraturan ditetapkan.

“Kita tidak boleh halang orang tiada hiburan. Kita memberi lesen untuk membuka pusat hiburan tetapi di bawah kawalan termasuk masalah keselamatan, tatasusila dan sensitiviti kaum. Itu yang dikatakan kawalan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pihaknya tidak boleh membatalkan lesen yang sudah lama dikeluarkan kerana mereka tidak melanggar peraturan.
Atas dasar itu kata beliau, semua pengusaha pusat hiburan akan dipanggil untuk diberi taklimat yang turut disertai pihak penguatkuasa termasuk polis mengenai etika pusat-pusat hiburan pada minggu depan.

Menurutnya, tindakan akan mula diambil jika masih terdapat pengusaha yang melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan selepas taklimat itu kelak.