MUKHRIZ
Mahathir (depan tengah) bersama-sama penyokong Barisan Nasional (BN) ketika
pelancaran
Program BN Pilihan Orang Muda peringkat negeri Kedah di Jitra,
baru-baru ini.
|
Sepanjang jalan dari Kuah ke Kedawang, ia dipenuhi dengan
bendera-bendera yang seolah-olah menggambarkan musim pilihan raya sudah
bermula.
Ternyata Langkawi sememangnya menjadi salah satu sasaran
pembangkang terutamanya Pas untuk ditawan setelah ia sekian lama berada di
bawah Barisan Nasional (BN). Pas bukannya tidak mencuba untuk menawan Langkawi
namun usaha mereka gagal, penduduk Langkawi masih setia bersama BN. Tambahan
pula orang Kedah terutamanya di Langkawi masih terhutang budi kepada Tun Dr.
Mahathir Mohamad yang dianggap pemimpin paling berjasa membangunkan pulau itu.
Ketika berada di pulau legenda itu minggu lalu, penulis
diberitahu bahawa Pas semakin agresif untuk meraih sokongan penduduk, kibaran
bendera parti itu di seluruh pelosok pulau tersebut telah menampakkan betapa
seriusnya usaha mereka.
Oleh itu BN tidak boleh memandang remeh cabaran yang
dilakukan oleh Pas apatah lagi sekarang ini, sudah terdengar ura-ura ada
perebutan untuk menjadi calon di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di pulau
tersebut.
Pulau Langkawi mempunyai tiga kerusi yang kesemuanya kini
dikuasai oleh BN iaitu Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) iaitu Kuah dan Ayer Hangat.
Penulis tidak tahu sejauh manakah kebenarannya mengenai
perebutan untuk menjadi calon ini tetapi ia dimaklumkan sendiri oleh penduduk
Langkawi yang sentiasa mengikuti perkembangan politik pulau itu.Mungkin juga
keadaan itu berlaku kerana sudah ada cakap-cakap bahawa UMNO dan BN perlu
meletakkan calon muda atau muka baru terutamanya bagi kerusi Parlimen.
“Kalau muka baru baguihla (baguslah), dapat lah kita
tengok idea baru untuk tolong penduduk," kata seorang peniaga di Pantai
Cenang kepada penulis. Berdasarkan tinjauan dan sembang-sembang penulis dengan
penduduk Langkawi jelaslah mereka mahukan perubahan dari segi calon BN.
Apa yang agak menarik nama Datuk Mukhriz Mahathir turut menjadi
sebutan penduduk sebagai calon paling sesuai untuk bertanding kerusi Parlimen
langkawi.
Justeru tidak hairanlah Mukhriz akan disambut meriah
setiap kali datang ke pulau itu. Bagi penduduk tidak ada salahnya Mukhriz
menjadi ahli Parlimen kawasan berkenaan. Apa tah lagi penduduk menganggap ia
bagaikan peluang untuk mereka membalas jasa Dr. Mahathir dengan memberi
penghormatan kepada Mukhriz menjadi wakil rakyat mereka.
‘‘Dulu pun kami ada dengaq (dengar) Mukhriz nak
bertanding di sini tetapi last-last (akhirnya) tak jadi, dia pi bertanding di
Jerlun...tak tau la kali ini macam mana tetapi kalau dia bertanding penduduk
pasti sokong dia," kata seorang penduduk yang tinggal di Temoyong,
Langkawi.
Walaupun Mukhriz mungkin ‘tidak senang’ namanya dikaitkan
namun beliau perlu faham bahawa dirinya kini adalah pemimpin muda paling
popular di Kedah. Memanglah kenyataan seumpama ini sudah pasti tidak akan
disenangi oleh sesetengah pihak, sebab itulah khabarnya baru-baru ini beliau
`diserang’ agak hebat bila namanya dikaitkan untuk jawatan Menteri Besarkalau
BN menang di Kedah.
Tetapi apa yang penting kita harus berpegang kepada
prinsip rakyat didahulukan, maka ikut apa yang rakyat mahukan dan bukannya
mengikut agenda politik mana-mana individu.
Mukhriz bukan sahaja popular di kalangan warga emas
malahan generasi muda juga dikatakan menyenangi keterampilannya. Oleh itu ramai
berpendapat tiada salahnya jika Mukhriz diuar-uarkan sebagai bakal pemimpin
utama Kedah.
‘‘Tidak kisah di mana pun Mukhriz bertanding, dia boleh
menang tetapi kalau di Langkawi lagi baguih (bagus) sebab penduduk suka dia,’’
kata seorang penjawat awam yang bertugas di pulau berkenaan.
Dalam soal ini semua pemimpin UMNO dan BN perlu akur
termasuklah di Pulau Langkawi , kalau penduduk yang menyokong BN merasakan
bahawa masanya sudah tiba untuk parti itu melakukan perubahan dari segi calon
dan tidak meletakkan muka yang sama sahaja bertanding, maka lakukan, apa yang
penting kemenangan untuk parti.
BN tidak harus memandang remeh cabaran pembangkang di
Pulau Langkawi, senario politik negara masa kini telah membuktikan bahawa tidak
ada mana-mana pun parti politik yang boleh mendabik dada mengatakan satu-satu
kawasan itu kubu kuat mereka.
Begitu juga di Langkawi walaupun tradisinya ia kubu kuat
UMNO namun ia bukanlah satu jaminan sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah
meletakkan calon mengikut kehendak rakyat pulau itu.
Tidak apalah kalau Mukhriz lebih sesuai dikekalkan di
kerusi Parlimen Jerlun atau mewarisi bekas kerusi bapanya di Kubang Pasu,
tetapi cabaran pembangkang di Langkawi jangan dipandang remeh. Malahan tinjauan
penulis di Kedah juga mendapati bahawa pengaruh Mukhriz dengan kehadiran Dr.
Mahathir untuk berkempen dalam pilihan raya umum akan datang mampu memberi
kelebihan kepada BN.
Apa pun senario yang berlaku di Langkawi dan Kedah secara
keseluruhan sememangnya amat menarik untuk diikuti. Penulis yang berada di
Kedah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Kulim pada
Jumaat lalu mendapati sokongan rakyat Kedah kepada BN semakin meningkat.
Ribuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum yang
menyambut kehadiran Najib telah membuktikan rakyat Kedah mahukan perubahan
kepimpinan kerajaan negeri. Mereka merasakan cukuplah sepenggal Pas diberi
peluang untuk memerintah tetapi gagal melakukan apa-apa, banyak janji yang
tidak ditunaikan.
Sememangnya berdasarkan tinjauan penulis selama seminggu
di Kedah mendapati arus perubahan semakin ketara dan ia bakal membawa kebaikan
kepada UMNO dan BN tetapi parti itu tidak boleh leka kerana bukan sahaja
perubahan sikap rakyat diperlukan tetapi juga ketelusan pemimpin-pemimpin BN
untuk meraih kemenangan.
Dan ia termasuklah memberi laluan kepada generasi muda
menjadi peneraju utama kepimpinan negeri jika BN menang, siapakah mereka ia
perlu diuar-uarkan dari sekarang supaya rakyat tidak menganggap bahawa dalam
pilihan raya akan datang UMNO hanya meletakkan calon bak kata orang Kedah, ‘pi
mai pi mai muka tu jugak,’’.