CALIFORNIA - Laman jaringan sosial popular,
Facebook akan meminta pengguna aktifnya yang berjumlah lebih 900 juta orang
supaya memberikan nombor telefon bimbit masing-masing bagi mengelak akaun
mereka digodam.
Ia sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan tahap
keselamatan bagi mengelakkan laman sosial itu digodam seperti yang dihadapi
oleh jaringan sosial lain termasuk LinkedIn dan eHarmony.
Berjuta-juta pengguna Facebook sudah boleh melihat satu
pautan di laman akaun mereka meminta mengikut 'kaedah keselamatan mudah'.
Mereka yang klik pautan tersebut akan dibawa ke laman
keselamatan Facebook di mana mereka akan diminta memilih kata laluan unik dan
diberikan tutorial bagaimana untuk mengenali penipuan melalui talian.
Pengguna kemudian akan diminta untuk menyediakan nombor
telefon bimbit bagi membolehkan pemulihan keselamatan akaun.
Facebook mendakwa tindakan terbaru itu berkesan kerana
apabila pengguna mengesahkan nombor telefon mereka, ia akan membenarkan laman
web itu untuk memadamkan kata laluan mereka jika akaun itu digodam.
Laman web itu kemudian akan menghantar satu mesej teks
kepada pengguna bahawa kata laluan mereka telah ditukar.
Tindakan terbaru itu dipilih berbanding penghantaran emel kerana kebanyakan pengguna tidak mengendahkan dan hanya akan memadamkannya. - AGENSI