Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhenti menyebarkan fitnah
mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan
model Mongolia, Altantuya Shaariibu dan isu kapal selam Scorpene kerana ia
langsung tiada asas.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
berkata, Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk
membabitkan Najib dalam dua isu tersebut.
Menurut beliau, kerajaan telah menandatangani perjanjian
pembelian kapal selam Scorpene pada 2002 manakala penganalisis politik, Abdul
Razak Baginda mula mengenali Altantuya pada 2004.
''Kita dapat melihat tiada kaitan di antara Altantuya dan
isu Scorpene kerana mendiang dan Abdul Razak berjumpa selepas perjanjian
pembelian kapal selam itu dimeterai.
''Anwar dan rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang cuba
memutar-belitkan isu pembelian kapal selam Scorpene dan kes pembunuhan
Altantuya namun semua tuduhan mereka terhadap Najib sebenarnya tidak
berasas," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin baru-baru ini tentang
tindakan Anwar mengarahkannya untuk mereka bukti berhubung pembabitan Najib
dalam isu kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya.
Bagaimanapun, Zulkifli yang juga bekas peguam bela Anwar
enggan mematuhi arahan Anwar kerana tiada bukti yang mengaitkan Najib dalam dua
isu itu.
Zahrain menambah, pembangkang mula memfitnah Najib berhubung
isu kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya semasa kempen Pilihan Raya
Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 2007.
''Sepatutnya isu-isu berkenaan tidak lagi dibangkitkan
kerana Perdana Menteri telah melafazkan sumpah bagi menunjukkan beliau tidak
bersalah.
''Memandangkan bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 kian terasa,
pembangkang kini mengulangi permainan politik kotor itu dengan mereka cerita
semata-mata untuk membohongi rakyat," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Zahrain turut membidas Suaram
kerana cuba mengaitkan Najib dengan isu kapal selam Scorpene walaupun tidak
mempunyai sebarang bukti yang kukuh.
''Bila kita tanya tentang bukti, Suaram kata tiada. Tuduhan
terhadap Najib dibuat berdasarkan kepada andaian sahaja," katanya.
Dakwa Zahrain, beliau tahu siapa sebenarnya yang mendalangi
Suaram dan Anwar diminta tidak menggunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu
untuk menyebarkan fitnah. -Utusan