SUNGAI PETANI 5 Nov. - Bagi tujuan memudahkan orang ramai, Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok bercadang untuk membuka kaunter pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) di beberapa kawasan mengikut keperluan.
Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, pembukaan kaunter berkenaan perlu bagi memberi kemudahan khususnya bagi pemohon baru dan individu bujang melakukan pendaftaran untuk menerima BR1M 2.0 yang dijangka akan dilaksanakan pada awal 2013.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat BR1M 2.0
peringkat Parlimen Merbok oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Dewan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Sungai Petani hari
ini.Taklimat itu dihadiri pemimpin masyarakat serta beberapa wakil pertubuhan
bukan kerajaan (NGO).
Berbeza dengan pemberian sebelum ini, pemberian BR1M pada kali ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak RM250.
Bantuan tersebut adalah tanda keprihatinan Kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup serta selaras dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.0 bilion.