Isnin, 19 November 2012

Perkampungan nelayan bernilai RM45 juta akan dibina di Tanjung Dawai.


 
SUNGAI PETANI 18 Nov. - Kerajaan Pusat akan membangunkan projek pembinaan perkampungan nelayan bernilai RM45 juta, bagi membantu menyelesaikan masalah perumahan nelayan di Tanjung Dawai, di sini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah, sewaktu mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembangunan perkampungan nelayan di Kampung Nelayan, Tanjung Dawai, dekat sini, hari ini.
Mohd Hashim berkata, projek berkenaan yang akan dilaksanakan di atas tanah seluas 25 ekar itu akan dilengkapi dengan 300 unit rumah banglo serta pelbagai kemudahan termasuklah surau, dewan orang ramai, tadika, gelanggang futsal serta unit-unit kedai dan bengkel.

"Projek ini akan memberi manfaat kepada 300 keluarga nelayan yang kini tinggal di rumah yang dibina di atas tanah milik orang lain, ia menyukarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu mereka dari segi membaiki rumah kerana perlu mendapatkan kebenaran daripada tuan tanah.

"Kita bukan hanya memikirkan berapa banyak hasil tangkapan yang diperolehi nelayan tetapi juga kebajikan nelayan khususnya dari aspek perumahan, dan hasrat murni Perdana Menteri umumkan semasa lawatan akhir bulan lalu, memberi berita yang cukup baik untuk nelayan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata, dengan adanya perkampungan nelayan seperti ini, beberapa aktiviti sampingan untuk membantu nelayan seperti pasar tani untuk nelayan menjual tangkapan segar, pembuatan keropok lekor serta aktiviti hiliran yang lain, akan turut diwujudkan.

"Kawasan perkampungan ini juga akan dibangunkan sebagai kawasan agro-pelancongan iaitu sebagai perkampungan moden malah, kita turut bercadang untuk membina jeti baru di perkampungan ini untuk kegunaan penduduk di sini, khususnya, bagi membawa naik hasil tangkapan mereka.

"Dalam perkampungan ini juga akan diadakan aktiviti ekonomi yang akan dikendalikan oleh nelayan dengan kerjasama persatuan nelayan untuk menambah pendapatan nelayan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata, projek perkampungan nelayan itu adalah yang kedua dilaksanakan iaitu selepas projek sama di Tok Bali, Kelantan yang melibatkan kos RM30 juta.

"Untuk projek di Tanjung Dawai ini, peruntukan itu sudah ada dan sudah diluluskan oleh Perdana Menteri menerusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memastikan projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Kita menjangkakan bahawa majlis pecah tanah untuk projek ini dapat dilaksanakan menjelang Februari tahun depan," katanya

Penyelaras parlimen Merbok Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, Masalah yang disuara oleh nelayan didengari oleh Perdana Menteri, oleh itu satu projek perumahan nelayan dijalankan di sini, dan beliau mewakili nelayan berterima kasih kepada Perdana Menteri.

Katanya, Kerajaan BN merupakan kerajaan yang berpegang janji dan prihatin, oleh itu rakyat harus terus menyokong kerajaan BN pada pilihan raya yang akan tiba yang akan menjadi hadiah yang terbaik untuk diberi kepada Perdana Menteri kita.