Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung di Dewan
Duyung, Perdana Resort hari ini berlangsung dalam keadaan tenang walaupun umum
tahu bahawa parti tersebut sedang bergelora di peringkat akar umbi.
Dalam ucaptamanya, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS
menyeru para Ulama PAS mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman
politik) termasuk mengarahkan semua ahli mengundi calon-calon bukan Islam di
kalangan Pakatan Rakyat. Untuk itu, Datuk Harun juga mengingatkan mereka agar
menggunakan dalil-dalil dalam Al-Quran dan hadith yang bersesuaian, untuk
meyakinkan pengundi.
Secara dasarnya, Ulamak PAS mengambil pendirian untuk
menumpukan kepada perkara besar dan mengenepikan perkara kecil dalam membawa
usul ke Muktamar Tahunan ke-58 yang akan bermula esok di Pusat Tarbiyah
Pengkalan Chepa (Putik).
Apa yang menarik ialah, Dewan Ulama PAS telah memutuskan
‘menawan Putrajaya’ sebagai satu-satunya agenda besar.
Manakala soal lain, termasuk kebebasan umat Islam menukar
agama yang berbangkit dari kenyataan Nurul Izzah, hala tuju dan prinsip Pakatan
Rakyat dalam soal hudud, Malaysian-Malaysia, liberalisme dan pluralisme yang
menjadi kontroversi dalam mendefinasikan jatidiri PAS hari ini, telah
diremehkan.
Malah, soal jawatan Perdana Menteri serta pembahagian kerusi yang merupakan isu asas
dalam memperkatakan agenda besar untuk ‘menawan Putrajaya’ juga turut
diketepikan. Dalam kata lain, penyokong PAS wajib menerima hakikat bahawa Anwar
adalah bakal perdana menteri kerana Anwar saja yang mampu menyatukan jasad PAS
dengan DAP yang mana tanpa penyatuan ini, PAS tidak mungkin mampu mengimpikan
Putrajaya.
Dalam kata lain, para penyokong yang mempunyai kemusykilan
atau persoalan mengenai perkara-perkara di atas dan berniat untuk
mengusulkannya untuk dibahaskan telah disarankan agar membatalkan niat mereka
sebaik tiba di pintu Muktamar.
Bagi menyimpulkan pendirian Dewan Ulama atau mungkin juga
kepimpinan PAS keseluruhan, petikan tulisan seorang blogger pro-PR menyatakan
segala-galanya, iaitu “Ahli perlu membincangkan bagaimana mahu melurus dan
melebarkan jalan menuju ke Putrajaya.
Jangan pula ada yang primif dengan menyempitkan jalan ke Putrajaya
dengan menzahirkan kebimbangan ataupun konfius; DAP akan menyekat pelaksanaan
Islam ataupun masih konfius apakah suci ataupun tidak Anwar Ibrahim untuk jadi
perdana menteri? Perkara itu tidak perlu ditimbulkan dan yang penting gapai
dulu Putrajaya kemudian baru bahaskan.”
Malah, blogger tersebut juga berpesan agar penyokong PAS
jangan tamak mendesak agar kerusi pilihanraya diberikan lebih kepada PAS
berbanding PKR. Katanya, “Lebih baik Pas
menang sedikit daripada menang besar kalau penyertaan itu memberi untung kepada
Umno. Juga tidak ada gunanya Pas menang besar kalau kemenangan itu nanti
digunakan untuk bergabung dengan Umno tanpa ada konsensus dari ahli.”
Alasan beliau ialah walaupun gabungan PAS-UMNO merupakan
perkara spiritual iaitu hubungan agama dan bangsa tetapi “tidak elok kalau
ditimbulkan dalam muktamar kerana ia boleh menyinggung rakan Pakatan yang
lain.”
Seperti juga blogger tersebut, Dewan Ulama PAS telah
memutuskan yang PAS tidak pernah terpesong dari landasan asal iaitu masih
memperjuangkan penubuhan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Bagaimanapun, ahli-ahli dilarang bertanya
bagaimana untuk memperjuangkannya sedangkan ia ditentang hebat oleh DAP.
Nampaknya, kerana terlalu inginkan kuasa, Ulama dan
kepimpinan PAS mula menunjukkan sikap kuku-besi. Ahli-ahli tidak dibenarkan bersuara atau
bertanya. Jika ada yang berbuat demikian
akan dituduh sebagai agen UMNO, pengkhianat dan kemungkinan besar dikenakan
tindakan pecat. Ahli-ahli dipaksa untuk menerima hakikat bahawa jika mereka
perlu menggadaikan agama, bangsa, negara, maruah, wang mahupun nyawa untuk
mendekatkan mereka ke Putrajaya, maka mereka wajib melakukannya tanpa banyak
soal.
Nampaknya, Muktamar PAS kali ini tidak ada faedahnya jika
ahli-ahli menerima saranan blogger PAS di atas. Jika isu-isu yang menjadi kemusykilan di
peringkat akar umbi tidak dibenar disuarakan, maka apa lagi yang boleh
dibincangkan?
Apakah Muktamar hanya untuk ahli berjumpa untuk mengeratkan
silaturrahim dan mendengar ucapan kepimpinan semata-mata? Sedangkan, akar umbi mendambakan satu
gambaran yang jelas lagi terang berkenaan arah tuju parti sebelum dan juga
selepas Pilihanraya.
PAS tidak boleh mengharapkan semua ahli menerima arahan
untuk tutup mulut dan memenangkan parti dahulu sebelum bertanya ke mana mereka
akan dibawa. Tidak semua ahli-ahli PAS
sebodoh pemimpinnya. Ramai yang berupaya
membayangkan kekecohan selepas Pilihanraya sekiranya PAS tidak mampu menjelaskan
di manakah kedudukan parti mereka dan ke manakah arah atau apakah gaya
pemerintahan PR nanti.
Muktamar ini sepatutnya digunakan sebaiknya untuk
menjelaskan segala-gala kemusykilan akar umbi ini dan bukannya menggelapkan
terus pandangan mereka. Jika PAS gagal
memuaskan hati akar umbi melalui Muktamar ini, maka Putrajaya nampaknya akan
semakin jauh lagi.